Ilmu Berkaitan Hari Kiamat Adalah Berasaskan wahyu, bukan akal

SETIAP ilmu yang diturunkan oleh Allah SWT pasti mempunyai manfaat yang besar buat manusia. Setiap apa yang dipelajari oleh manusia juga pasti akan memberi kesan yang cukup mendalam kepada pengetahuan sehingga membawa kepada pengukuhan iman dan takwa kepada sang Pencipta. Ilmu-ilmu ini tersebar luas sehingga menjadikan manusia hebat dan mampu merumus dan mengolah sesuatu yang di luar daripada batas pemikiran seperti peristiwa masa hadapan dan perkara ghaib.

 AL-QURAN dan as-Sunnah terlebih dahulu menceritakan perihal kiamat.

Oleh itu, adakah dengan berbicara dan memahami tentang tanda-tanda kiamat ini akan memberi kesan kepada jiwa manusia? Ataupun sekadar maklumat biasa yang diperoleh tanpa memberi kesan apa-apa?

Jawapannya pasti memberi kesan kerana al-Quran dan as-Sunnah terlebih dahulu menceritakan tentang perihal kiamat ini. Umat Islam pula berpegang dengan al-Quran dan As-Sunnah, maka sudah tentu setiap perkhabaran ini akan dijadikan panduan yang utama dalam kehidupan.

Perbahasan berkaitan kiamat ini, tidak hanya terhenti kepada tanda-tanda kiamat sahaja, bahkan melangkaui akal pemikiran manusia secara keseluruhan khususnya melibatkan lafaz tertentu. Jika dilihat kepada situasi ini, ternyata kiamat semakin mendekati manusia.

Perkara ini dinyatakan Baginda Nabi SAW yang bermaksud:  "Jarak antara aku diutuskan dengan tibanya Hari Kiamat adalah seperti ini (Anas RA berkata: "Rasulullah SAW menggabungkan antara jari telunjuk dengan jari tengah." (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Jika disoroti, ilmu berkaitan Hari Kiamat khususnya melibatkan tanda-tanda kiamat adalah sesuatu yang cukup berbeza dengan ilmu yang lain. Ini kerana, ilmu ini berasaskan situasi masa akan datang yang tidak diketahui bagaimana keadaan yang sebenarnya.

Maka, Allah SWT menjadikan faedah untuk memahami ilmu secara mutlak menerusi firman-Nya yang bermaksud:  "Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka." (Surah al-Baqarah ayat 3)

Dalam al-Quran, Allah SWT menurunkan sejumlah lafaz berkaitan kiamat yang merupakan antara lafaz yang paling banyak dijelaskan dalam pelbagai ayat dan surah yang berbeza. Imam Al-Qurtṭubiy dalam kitab Tazkirah menjelaskan bahawa, setiap lafaz yang diulang dan dinyatakan dalam pelbagai bentuk menunjukkan kepentingan untuk memahaminya dengan kadar yang tinggi. Jika disoroti dengan terperinci, Allah SWT telah menurunkan beberapa surah yang dinamakan khusus dengan lafaz kiamat.

Kepentingan memahami dan mengenali lafaz berkaitan kiamat ini adalah bertitik tolak daripada firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam AS akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: "Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar." (Surah al-Baqarah ayat 31)

Dalam hal ini, setiap lafaz yang terdapat dalam al-Quran pasti memberi makna yang tertentu. Apabila diteliti dari sudut bahasa, pasti makna satu-satu lafaz tersebut berbeza dengan makna dalam ayat. Oleh itu, pemahaman tentang lafaz dalam al-Quran khususnya melibatkan peristiwa masa akan datang perlu dipelajari dengan teliti supaya makna yang sebenar dapat diperoleh. 

Dari sudut lafaz berkaitan kiamat dalam al-Quran, terdapat lafaz yang jelas dinyatakan seperti al-Qiyamah, yaum al-Akhirah, yaum al-Diin, yaum al-Saah dan lain-lain. Manakala terdapat juga lafaz yang dinyatakan secara umum tetapi merujuk kepada keadaan kiamat seperti lafaz dakka, bassa, rajja, syaqqa dan lain-lain.

Secara umumya terdapat beberapa surah yang dinamakan khusus dengan nama kiamat iaitu, al-Waqiah, al-Ghasiah, al-Haaqah, al-Taghabun, al-Zalzalah, al-Qiyamah dan al-Qariah. Semua surah ini mempunyai variasi penceritaan tentang kiamat dalam konteks yang berbeza-beza berdasarkan asbab penurunannya. Pada setiap permulaan surah tersebut, Allah SWT melemparkan persoalan dan penegasan yang khusus iaitu berkaitan Hari Kiamat. Perkara ini menunjukkan sesuatu yang penting perlu difahami oleh semua manusia tentang satu peristiwa yang besar akan berlaku kelak. 

Sayyid Qutṭb dalam kitab Masyahid al-Qiyamah fi al-Quran menukilkan bahawa, al-Quran secara jelas meletakkan beberapa perkara penting berkaitan Hari Kiamat. Skop perbincangan yang dikemukakan ini merangkumi dua perkara utama iaitu, hari kebangkitan dan pembalasan dan (nikmat dan azab). Oleh itu, pemahaman terhadap sesuatu ayat tentang keadaan Hari Kiamat adalah penting dalam menjelaskan sesuatu peristiwa yang berlaku.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka apabila saat kiamat itu datang kepada mereka?" (surah Muhammad ayat 18)

Maka, ilmu berkaitan hari kiamat ini akan memberi galakan kepada seseorang untuk mematuhi segala perintah Allah SWT dan bersedia menghadapi hari kebangkitan kelak. Peringatan ini adalah besar khususnya kepada mereka yang lalai dan tidak mempedulikan perintah Allah SWT melalui Rasul utusan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:  "(Dia) Maha mengetahui perkara yang tersembunyi dan tiada diterangkan-Nya rahsia-Nya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada Rasul yang diredai-Nya (untuk mengetahui sebahagian perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu sampai kepada yang berkenaan)."  (Surah al-Jinn ayat 26-27)

Justeru, ilmu Hari Kiamat yang disampaikan oleh Baginda Nabi SAW adalah satu gambaran berdasarkan wahyu dan bukan berasaskan akal semata-mata. Setiap tanda-tanda kiamat yang sudah disampaikan kepada kita berasaskan hadis yang sahih adalah perlu dipercayai. Namun setiap hadis tersebut perlu difahami dengan sebaik mungkin dengan merujuk kepada pakar supaya penafsiran terhadap hadis tersebut tidak terpesong yang membawa kepada penyebaran maklumat yang salah dan menyesatkan.

Allah SWT berfirman:  "Dan kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka, maka bertanyalah kamu kepada 'Ahlua al-Zikr' jika kamu tidak mengetahui." (Surah al-Anbiya' ayat 7)

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/07/731109/berasaskan-wahyu-bukan-akal?fbclid=IwAR3KaO8MHBiGbXmX0_lD5-JYcQ131Md2WKzQKmM02nKX7um20udzXDI-ey4 

Tiada Taubat Tatkala Matahari Terbit Dari Barat

Matahari terbit dari timur dan terbenam di barat adalah kebiasaan yang dilihat oleh semua manusia pada setiap hari. Terbitnya matahari dari timur menandakan bermulanya ibadah solat iaitu Subuh diikuti solat Zuhur apabila gelincir matahari ke arah barat. Kemudian Asar dan solat Maghrib apabila terbenam matahari di barat. Solat Isyak pula apabila hilangnya cahaya matahari dari langit bumi.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Maha Berkat Tuhan yang menjadikan di langit tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi." Surah al-Furqan ayat 61

Namun di sebalik fenomena alam ciptaan Allah SWT dengan bumi mengelilingi matahari mengikut peredaran tertentu, Nabi SAW memberi peringatan yang besar buat umat baginda mengenai pertukaran arah terbitnya matahari apabila menjelang kiamat. Tanda ini merujuk kepada tanda besar kiamat apabila matahari akan terbit dari arah barat iaitu tempat terbenamnya ketika ini. 

FOTO HIASAN

Persoalannya, kenapa perlu untuk mengetahui situasi matahari terbit dari barat sedangkan kiamatnya tidak diketahui bila akan berlaku?

Dalam hal ini, ada perkara besar yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: "Pada hari datangnya sebahagian tanda Tuhanmu tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman itu atau ia belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya." Surah al-An'am ayat 158

Ath-Thabari dalam tafsirnya ketika menghuraikan ayat ini menjelaskan tanda dalam ayat ini merujuk kepada terbitnya matahari dari arah barat.

Pada saat itu, tidak berguna lagi iman seseorang itu setelah matahari terbit dari barat. Tiada berguna lagi taubat yang dipanjatkan kepada Allah SWT. Maka, peringatan besar ini bertujuan agar umat akhir zaman tidak leka dengan dunia dengan bertangguh untuk bertaubat kepada Allah SWT.

Jika disoroti, banyak hadis yang menjelaskan perihal matahari terbit dari barat. Ini menggambarkan pentingnya peringatan baginda kepada umatnya. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SWT bersabda maksudnya: "Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat maka orang ramai melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya." Hadith Riwayat al-Bukhari

Dalam hadith yang lain, Nabi SAW berpesan agar bersegeralah melakukan amal soleh sebelum tibanya enam tanda kiamat dan satu daripadanya adalah terbit matahari dari barat. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Bersegeralah melakukan amal soleh sebelum datangnya enam perkara iaitu sebelum terbitnya matahari dari barat…" Hadith Riwayat Muslim

Apabila matahari terbit dari barat, tertutuplah pintu untuk beriman kepada Allah SWT. Bagi mereka yang belum bertaubat sebelum matahari keluar dari barat, perkara yang sama berlaku kepada mereka. Taubat mereka pada ketika itu sudah tidak diterima lagi oleh Allah SWT. Situasi ini akan dilihat oleh manusia yang hidup pada zaman itu sehingga mereka mula mengakui dan membenarkan Allah SWT yang tiada manfaat bagi mereka pada ketika itu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata, 'Kami hanya beriman kepada Allah saja dan kami kafir kepada sembahan yang kami persekutukan dengan Allah.' Maka iman mereka tiada berguna bagi mereka tatkala mereka melihat seksa Kami. Itulah sunah Allah yang berlaku terhadap hamba-Nya. Dan pada waktu itu binasalah orang kafir."

Al-Qurtubi menjelaskan bahawa ulama berkata, "Sesungguhnya iman seseorang itu tidak berguna bagi dirinya, (yang belum beriman sebelum itu) ketika matahari terbit dari barat. Ini disebabkan perasaan terlalu takut menusuk hati mereka sehingga mematikan segala nafsu syahwat yang bermaharajalela dalam diri. Pada ketika ini tubuh menjadi longlai dan keyakinan kiamat telah dekat bagaikan orang yang sedang menghadapi sakaratul maut, tiada lagi keinginan untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Maka taubat mereka pada saat ini sudah tidak diterima lagi oleh Allah seperti taubat orang yang sedang menghadapi sakaratul maut."

Ibnu Katsir berkata, "Apabila orang kafir mula beriman pada waktu itu, maka tidak diterima imannya. Adapun orang yang beriman sebelum itu dan beramal soleh, maka dia memperolehi kebaikan yang besar sekali. Tetapi jika ia suka berbuat dosa dan baru bertaubat pada waktu itu, taubatnya tidak diterima"

Sabda Nabi SAW maksudnya: "Tugas hijrah itu tidak terputus selama taubat masih diterima. Dan taubat itu masih diterima sehingga matahari mula terbit dari barat. Apabila matahari terbit dari barat, maka dikuncilah setiap hati dengan apa yang ada di dalamnya. Dan cukuplah bagi manusia apa yang telah diamalkannya." Hadith Riwayat Ahmad

Dalam hadith lain, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah pada siang hari dan membentangkan tangan-Nya pada siang hari menerima taubat orang yang bersalah pada malam hari hingga matahari terbit dari barat." Hadith Riwayat Muslim

Berdasarkan hadith itu, Rasulullah SAW menetapkan batas terakhir diterimanya taubat seseorang itu adalah sebelum matahari terbit dari barat. Ibnu Hajar dalam Fathul Bari menjelaskan banyak hadis yang menunjukkan pintu taubat tertutup saat matahari terbit dari barat sehingga datangnya hari kiamat.

Pintu taubat kepada Allah terbuka luas buat umat manusia sehingga pada saat nyawa berada pada halkum atau pada saat matahari terbit dari barat. Saat untuk bertaubat tidak boleh dilengah-lengahkan kerana kematian semakin mendekati manusia setiap detik. Mungkin kita tidak akan sempat untuk diperlihatkan dengan matahari terbit dari barat, namun saat kematian itu adalah kiamat kecil manusia. Oleh itu, sentiasalah mempersiapkan diri dengan bertaubat kepada Allah SWT agar kematian yang didambakan nanti adalah baik.

Fenomena yang tular apabila matahari kelihatan terbit dari sebelah utara adalah perkara yang berbeza dari tanda kiamat matahari terbit dari barat. Fenomena yang tular itu situasi yang saban tahun berlaku. Kegusaran masyarakat Islam mengenai peristiwa itu adalah baik sebagai peringatan untuk tidak leka dengan dunia dan sentiasa berusaha meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT dan menjauhi segala perbuatan maksiat yang boleh membawa murka Allah SWT.

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/06/721499/tiada-taubat-tatkala-matahari-terbit-dari-barat 

Kisah Dajjal Dan Al-Jassasah

Diriwayatkan daripada Fatimah binti Qais RA, beliau berkata: "Aku telah mendengar muazzin Rasulullah SAW memanggil untuk solat. Aku pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah SAW.

"Apabila Rasulullah SAW selesai solat, Baginda duduk di atas mimbar lalu sambil tersenyum Baginda bersabda: 'Setiap orang tetaplah duduk di tempat solatnya.' Kemudian Baginda bersabda: 'Tahukah kamu kenapa aku mengumpulkan kamu semua?' Sahabat menjawab: 'Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.' Kemudian Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  'Demi Allah, sesungguhnya aku mengumpulkan kamu bukanlah untuk suatu khabar gembira atau khabar buruk, akan tetapi aku mengumpulkan kamu kerana Tamim al-Dari, yang dahulunya seorang Nasrani kini telah memeluk Islam dan berbai'ah kepadaku. Ia telah mengatakan sesuatu yang pernah aku katakan kepada kamu tentang al-Masih Dajjal. Ia mengisahkan perjalanannya kepadaku bahawa dia belayar bersama 30 orang daripada Kabilah Lakham dan Judzam dengan sebuah kapal laut. Kemudian mereka terumbang-ambing oleh ombak selama satu bulan. Hingga mereka terdampar di sebuah pulau di tengah laut di kawasan tempat terbenamnya matahari. Lalu mereka berehat di suatu tempat yang dekat dengan kapal.

MAKKAH dan Madinah adalah dua tempat yang tidak dapat dimasuki Dajjal kerana dijaga oleh malaikat.

Kemudian, mereka mendarat di pulau tersebut dan bertemu dengan satu makhluk yang berbulu lebat, sehingga mereka tidak dapat menganggarkan mana ekornya dan mana kepalanya kerana tertutup oleh bulunya yang terlalu banyak.

Mereka berkata: 'Celaka, daripada jenis apakah kamu ini.'

Ia menjawab: 'Aku adalah Al-Jassasah.'

Mereka bertanya: 'Apakah Al-Jassasah itu?'

Tanpa menjawab soalan mereka, lalu ia berkata: 'Wahai kamu, lihatlah seorang lelaki yang berada di rumah terpencil itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengar maklumat daripada kamu!'

Tamim al-Dari berkata: 'Ketika ia menjelaskan kepada kami tentang lelaki itu, kami pun terkejut kerana kami menyangka bahawa ia adalah syaitan. Lalu kami akan berangkat sehingga kami memasuki rumah tersebut, di sana terdapat seorang manusia yang paling besar (yang tidak pernah kami lihat sebelum ini) dalam keadaan terikat sangat kuat. Kedua-dua tangannya terikat ke bahunya serta antara dua lutut dan kedua-dua mata kakinya terbelenggu dengan besi.'

Kami berkata: 'Celaka, siapakah kamu ini?' Ia menjawab: 'Takdir telah menentukan bahawa kamu akan menyampaikan maklumat kepadaku, maka khabarkanlah kepadaku siapakah kamu ini?'

Mereka menjawab: 'Kami adalah orang-orang Arab yang berlayar dengan sebuah kapal, tiba-tiba kami menghadapi sebuah laut yang bergoncang, lalu kami terumbang-ambing di tengah laut selama satu bulan, dan terdamparlah kami di pulau ini. Lalu kami duduk di tempat yang berdekatan dengan kapal, kemudian kami masuk pulau ini, maka kami bertemu dengan seekor binatang yang sangat banyak bulunya yang tidak dapat dianggarkan mana ekor dan mana kepalanya kerana banyak bulunya.

Maka kami berkata: 'Celaka, apakah kamu ini?'

Ia menjawab: 'Aku adalah Al-Jassasah.'

Kami bertanya: 'Apakah Al-Jassasah itu?'

(Tanpa menjawab soalan kami), ia berkata: 'Wahai kamu, lihatlah seorang lelaki yang berada di rumah terpencil itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengar maklumat daripada kamu!'

Lalu kami segera menuju tempat kamu ini dan kami terkejut bercampur takut kerana menyangka bahawa ia adalah syaitan.

'Lelaki besar yang terikat itu bertanya: 'Beritahu kepada aku tentang pohon kurma yang ada di Daerah Baisan?'

Kami bertanya: 'Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?'

Ia berkata: 'Aku bertanya sama ada pohon kurma itu berbuah?'

Kami menjawab: 'Ya.'

Ia berkata: 'Adapun pohon kurma itu maka hampir saja tidak akan berbuah lagi.'

Kemudian ia berkata: 'Beritahu kepadaku tentang Tasik Galilee.'

Mereka berkata: 'Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?'

Ia bertanya: 'Apakah ia masih tetap berair?'

Mereka menjawab: 'Airnya masih banyak.'

Ia berkata: 'Adapun airnya, maka hampir sahaja akan habis.'

Kemudian ia berkata lagi: 'Beritahu kepada Aku tentang mata air Zugar.'

Mereka menjawab: 'Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?'

Ia bertanya: 'Apakah di sana masih ada air dan penduduk di sana masih bertani dengan menggunakan air dari mata air Zugar itu?'

Kami menjawab: 'Benar, ia berair banyak dan penduduknya bertani dari mata air itu.'

Lalu ia berkata lagi: 'Beritahu kepadaku tentang Nabi yang ummi (tidak boleh tulis baca), apa sajakah yang sudah ia perbuat?'

Mereka menjawab: 'Dia telah keluar dari Makkah dan menetap di Yathrib (Madinah).'

Lalu ia bertanya: 'Apakah ia diperangi oleh orang-orang Arab?'

Kami menjawab: 'Ya.'

Ia bertanya: 'Apakah yang dia lakukan terhadap mereka?'

Maka kami memberitahu kepadanya bahawa Nabi itu telah menundukkan orang-orang Arab yang bersama dengannya dan mereka mentaatinya.

Lalu ia berkata: 'Apakah itu semua telah berlaku?'

Kami menjawab: 'Ya.'

Ia berkata: 'Sesungguhnya adalah lebih baik bagi mereka untuk mentaatinya dan sungguh aku akan mengatakan kepada kamu tentang diriku. Aku adalah al-Masih Dajjal dan sesungguhnya aku hampir saja dibenarkan untuk keluar. Maka aku akan keluar dan berjalan di muka bumi dan tidak ada satu pun negeri kecuali aku memasukinya dalam masa 40 malam selain Makkah dan Thaibah (Madinah), kedua-dua negeri itu terlarang bagiku. Setiap kali aku ingin memasuki salah satu daripada negeri itu maka aku dihadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan sangat tajam untuk menghambatku dari kedua-dua negeri tersebut. Dan di setiap jalan-jalan yang ada di Kota Madinah terdapat malaikat yang menjaganya.'

Fatimah berkata: "Rasulullah SAW bersabda sambil menghentakkan tongkatnya di atas mimbar. Inilah Thaibah, inilah Thaibah, inilah Thaibah (maksudnya Kota Madinah). Bukankah aku sudah menyampaikan kepada kamu tentang hal itu?" Sahabat menjawab: "Benar.".Baginda SAW bersabda: "Aku tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Tamim al-Dari kerana ia bersesuaian dengan apa yang pernah aku sampaikan kepada kamu tentang dia (Dajjal) dan tentang Madinah dan Makkah. Ketahuilah, tempatnya (Dajjal) terletak di laut Syam atau laut Yaman. Ia datang dari arah Timur, dari arah Timur, dari arah Timur. Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya ke arah Timur." (Hadis Riwayat Muslim, 7496)

Rujukan daripada  Asrat al-Saah oleh Syeikh Yusuf bin Abdullah Yusuf al-Wabil dan al-Mausu'ah fi al-Fitan wa al-Malahim wa Asrat al-Saah oleh Syeikh Dr Ahmad Muhammad al-Mubayad.

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/06/713639/kisah-dajjal-al-jassasah

Muliakan IbuBapa Di Saat Mereka Masih Ada

Situasi pendemik Covid-19 di Malaysia masih lagi dalam keadaan membimbangkan dan tanda-tanda untuk pulih masih lagi samar-samar. Rentetan dari situasi ini, pihak kerajaan telah memperketatkan kembali pergerakan rakyat daripada larangan merentas negeri kepada larangan merentas daerah. Keadaan ini menyebabkan rakyat khususnya umat Islam hiba apabila sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini berlaku secara bersedirian tanpa kunjung mengunjung antara satu sama lain. Tidak sekadar itu, bagi mereka yang masih lagi mempunyai ibu bapa, saat-saat ini juga menjadi suram apabila tidak mampu untuk bersama dengan mereka.

Ibu bapa adalah insan yang sangat istimewa. Islam meletakkan kedudukan ibu bapa pada satu tempat yang tinggi kerana kewajipan berbakti dan menghormati mereka adalah  besar selepas beriman kepada Allah dan menyembah-Nya serta tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain.

HUBUNGILAH ibu bapa untuk bertanya khabar supaya hubungan kita dengan mereka sentiasa subur.

Dalam al-Quran terdapat dua perkataan yang membawa maksud ibu iaitu 'umm' dan 'walidah'. Perkataan 'umm' menjelaskan peranan ibu yang mengandung dan melahirkan tanpa melihat sifat seseorang ibu itu sama ada baik atau buruk. Hal ini merujuk kepada segelintir wanita yang mengandung dalam keadaan terpaksa dan akhirnya menggugurkan atau membuang bayi tersebut apabila dilahirkan. Kata 'walidah' digunakan hanya karana adanya proses melahirkan, baik bagi manusia maupun makhluk lain. Ibu yang digelar dengan nama 'walidah' inilah menggambarkan tempat menumpahkan segala pengorbanan tanpa membezakan apakah ia baik atau tidak. Allah berfirman maksudnya:  "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uuh' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah Al Isra ayat 23)

Mulianya ibu bapa apabila al-Quran memberitakan kepada kita tentang dalamnya cinta ibu bapa kepada anak-anaknya dan besarnya kasih sayang dan kelembutannya kepada mereka. Islam adalah sebuah agama yang sangat menitikberatkan soal berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa) merupakan antara ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah SWT.

Ini seperti yang ditunjukkan oleh firman Allah SWT yang bermaksud:  "Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa." (Surah Al-Nisa' ayat 36)

Dr  Muhammad Ali al-Hashimi menyatakan  bahawa ayat-ayat ini merujuk kepada kekuatan hubungan manusia dengan sang pencipta iaitu menyembah Allah SWT dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Kedudukan ibu bapa diangkat ke suatu peringkat sehingga ulama dan ahli falsafah tidak dapat mentafsirkannya lagi.  

Dalam masa sama antara salah satu tanda hampirnya kiamat adalah situasi ibu yang pada suatu ketika mengandung, melahirkan, menyusu dan menjaga anak sejak dari kecil, akhirnya bertukar menjadi orang bawahan atau pembantu kepada anaknya sendiri. Hal ini dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Di antara tanda-tanda kiamat adalah apabila kamu melihat pengembala kambing menjadi pemimpin manusia dan kamu melihat orang yang bertelanjang dan berkaki ayam (miskin) akan berlumba-lumba meninggikan bangunan dan apabila ibu melahirkan tuannya." (Hadis riwayat Shuib al-Arnaout)

Pendapat al-Hafiz Ibnu Hajar mengenai 'ibu melahirkan tuannya' mengisyaratkan bahawa akan banyaknya penderhakaan manusia kepada ibu mereka sendiri. Gambaran ini telah jelas kelihatan apabila anak-anak dalam keadaan sedar atau tidak telah menjadikan mereka seperti pembantu rumah dengan membuat kerja-kerja memasak, membasuh, mengasuh cucu dan lain-lain. Situasi hari ini juga memperlihatkan ibu bapa hanya dihubungi sekiranya ada perkara penting sahaja berbanding rakan sekerja yang sentiasa diajak berborak dalam banyak perkara. Ibu bapa terus disisihkan umpama mereka tiada kaitan dengan kehidupan anak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  "Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku dan ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka." (Surah Maryam ayat 32)

Imam Asy-Syarbini menjelaskan ibu disebutkan secara khusus dalam al-Quran kerana menanggung beban berat dan banyak daripada rasa sakit dan kesulitan ketika melahirkan, menyusui dan mengasuh. Dalam tempoh ini, ibu bersengkang mata berkorban apa sahaja bagi memastikan anaknya membesar dalam keadaan sihat dan dijaga rapi. 

Pada hari ini, teknologi berkembang cukup pantas dan kita mampu untuk berhubung dengan sesiapa sahaja secara lansung. Maka gunakanlah peluang yang ada ini untuk selalu bertanya khabar ibu bapa di kampung. Jangan sekadar menggunakan suara sahaja, buatlah video call supaya kita boleh melihat mereka dan mereka juga seronok untuk melihat anak-anak kandung mereka. 

Banyak aplikasi dalam telefon yang membolehkan kita selalu berhubung dengan mereka. Jika ibu bapa masih menggunakan telefon lama, hadiahkanlah kepada mereka dengan yang baru mudah-mudahan senang untuk berhubung kelak. Ajarlah mereka menggunakan teknologi seperti mana mereka bersabar mengajar kita dari kecil dahulu. Jika kita boleh meluangkan masa sepanjang masa dengan telefon dan aplikasi dalam talian, tidak salah untuk kita menghantar emoji atau text bertanya khabar supaya hubungan kita dengan kedua-dua ibu bapa akan sentiasa subur.

Justeru, ibu bapa tidak sepatutnya dilayan seperti orang asing khsusunya dalam situasi pendemik yang masih lagi membataskan hubungan bersemuka dengan ibu bapa. Ibu bapa perlu dimuliakan oleh anak-anak walaubagaimana tingginya kedudukan taraf dan pangkat anak-anak dalam pekerjaan. Oleh itu, sisa-sisa umur ibu bapa perlu dimanfaat untuk bergembira dan merasa bahagian dengan anak-anak yang telah dididik dan dijaga rapi sehingga menjadi manusia berjaya pada hari ini. Semoga anak-anak dapat menjaga dan berbakti kepada ibu bapa ketika hayatnya masih ada. 

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/05/711425/muliakanlah-ibu-bapa

Imam Al-Mahdi Penegak Kebenaran Ketika Dunia Dalam Kezaliman

Mutakhir ini gelaran Imam al-Mahdi menjadi sebutan dan gelaran yang sewenang-wenangnya diguna pakai oleh mereka yang berkepentingan. Mereka yang dimaksudkan ini merujuk kepada golongan sesat dan menyesatkan umat akhir zaman. Di sebalik kewujudan golongan yang mengaku sebagai nabi palsu, wujud pula Imam Al-Mahdi palsu yang dikatakan mampu menunjukkan jalan kebenaran. Pengikut-pengikutnya pula membesarkan-besarkan sehingga ada yang menjadi sembahan kepada pengikutnya.

Di antara individu yang pernah membuat dakwaan bahawa dia adalah al-Mahdi ialah Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah yang merupakan pengasas Daulah Fathimiyah. Muhammad bin Tumart membuat dakwaan jahat lagi dusta bahawa dirinya adalah al-Mahdi al-Muntazhar. Al-Mahdi kelompok Kaisan yang menyangka bahawa al-Mahdi adalah Muhammad bin al-Hanafiah. Kewujudan individu ini secara asasnya adalah keyakinan mereka bahawa akan turunnya Imam al-Mahdi namun disebabkan ketaasuban, mereka dengan sendirinya melantik diri mereka sebagai al-Mahdi akhir zaman.

FOTO HIASAN

Imam al-Mahdi adalah manusia yang akan muncul di akhir zaman sebagaimana hadis yang menceritakan perihal beliau. Peranan beliau adalah menguasai keseluruhan bangsa Arab sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Beliau akan turut serta memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama selama tujuh tahun. Perkara ini berdasarkan hadis Baginda Nabi SAW yang bermaksud: "Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Al-Mahdi ialah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib RA . Dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib. Sebahagian ulama pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus. Bagaimanapun, pendapat yang paling tepat ialah yang diriwayatkan dari Abu Nu'aim dari Hammad dari Ali bin Abi Thalib RA bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah.

Kemunculan Imam Al-Mahdi ini adalah petunjuk kepada sekalian manusia yang mula hanyut dan terpalit dengan kezaliman yang banyak berlaku.

Salasilah keturunan Imam Al-Mahdi ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW Daripada Abdullah bin Mas'ud RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Menurut al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah: Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya."

Diriwayatkan daripada Thauban RA beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:  "Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Berdasarkan perbahasan ulama, terdapat tanda yang terdapat pada Imam Al-Mahdi antaranya, di bahagian bahu beliau terdapat tanda yang sama pada bahu Nabi SAW. Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa AS  dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya. Pada ketika itu, penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar. Keistimewaan beliau juga iaitu apabila menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.

Sementara sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi AS  adalah seperti berikut:

1. Beliau adalah seorang anak Adam.

2. Dahinya luas dan hidungnya mancung.

3. Kedua-dua matanya bercelak.

4. Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.

5. Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.

6. Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.

7. Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.

8. Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW.     

Al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir dalam kitab al-Fitan wal-Malahim berkata: "Aku menyangka bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku ketika turunnya Nabi Isa AS. Ini berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abd Allah RA beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Isa bin Maryam SAW turun lalu berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi): "Marilah solat bersama kami. Lalu Isa berkata: 'Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini.'" (Hadis Riwayat Muslim)

Bagaimanapun, terdapat beberapa pandangan daripada ulama berkaitan kemunculan Imam al-Mahdi: Pandangan pertama: Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah SWT utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia sudah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini.

Ibn Khaldun menjelaskan bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya kelak akan munculnya seorang lelaki dari kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan dan diikuti oleh kaum Muslimin dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai al Al-Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al Al-Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya.

Pandangan kedua: Mereka yang menolak kewujudan al-Mahdi dan menafikan kemunculannya pada akhir zaman disebabkan kelemahan dalam pemahaman terhadap hadis akhir zaman.

Justeru itu, Imam al-Mahdi adalah salah satu tanda daripada tanda kiamat besar yang akan berlaku kelak. Maka kepercayaan terhadap kewujudannya adalah sebagaimana keimanan kita terhadap hari kiamat yang akan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. 

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/04/699467/imam-al-mahdi-penegak-kebenaran-ketika-dunia-dalam-kezaliman 

Al-Malhamah Al-Kubra: Perang Menjelang Kiamat

ANTARA tanda-tanda  kiamat  adalah  terjadinya pertempuran  di antara  kaum  Muslimin  yang merupakan tentera  Isa AS  dan  bangsa  Yahudi  yang  menjadi tentera Dajjal pada  akhir  zaman. 

Sehingga pada satu masa  pokok-pokok  dan batu  berkata  kepada  tentera  Islam  tentang  kedudukan  orang  Yahudi  yang  bersembunyi  di  belakang  mereka.

Nabi SAW  bersabda maksudnya: "Tidak akan datang hari kiamat sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi dan membunuh mereka, sehingga bersembunyilah orang Yahudi di belakang batu dan kayu, lalu batu dan kayu berkata, 'Wahai orang Muslim, wahai hamba Allah, ini ada orang Yahudi di  belakang aku, ke marilah dan bunuhlah dia kecuali pohon al-Gharqad (yang  tidak  berbuat  demikian kerana  ia  termasuk  pohon  Yahudi.'" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

AL-MALHAMAH Al-Kubra hanya terjadi di akhir zaman dan merupakan salah satu daripada tanda kiamat yang dikhabarkan oleh Nabi SAW

Siri  peperangan  di dunia  tidak  pernah  terhenti  khususnya melibatkan  dua  kumpulan  besar  yang masing-masing  mempunyai  tujuan  tertentu  sama ada  menguasai  atau menghadapi. 

Apabila mendengar perkataan 'perang' pasti akan melibatkan  nyawa  dan  kemusnahan  yang  besar.  Kaum  Muslimin  secara  umumnya sudah  berperang dengan  kaum  Yahudi  sejak zaman  Nabi SAW. 

Mereka dapat mengalahkan  kaum  Yahudi  itu  dan  mengusir mereka  dari  Jazirah  Arab.

Nabi SAW  bersabda maksudnya:  "Sungguh  aku  akan  mengeluarkan  kaum  Yahudi  dan Nasrani  dari  Jazirah  Arab,  hingga  tidak  ada  yang  aku biarkan  kecuali  yang  beragama  Islam."  (Hadis Riwayat Muslim)

Siri  peperangan  ini  akan  terus  berlaku  sehingga peperangan  besar  sebelum  kiamat  muncul.  Peperangan yang  dikenali  dengan  al-Malhamah  al-Kubra  ini  merujuk kepada  perkataan  lahm  yang  bermaksud  daging. 

Maka al-Malhamah  adalah  'daging-daging' yang  menggambarkan  situasi  peperangan  dan  pembunuhan yang  besar  berlaku.  Disebabkan  peperangan  ini  ramai tentera  dan orang  awam  yang  terbunuh. 

Al-Malhamah  al-Kubra  ini  hanya  terjadi  di  akhir zaman dan  merupakan  salah satu daripada tanda kiamat yang dikhabarkan oleh Nabi SAW.  Peristiwa  ini  banyak disebut  dalam  hadis  Nabi SAW dan  diriwayatkan oleh  ramai  ulama.

Baginda  SAW  bersabda  yang bermaksud:  "Pemakmuran  Baitul  Maqdis  merupakan  tanda kehancuran  Yathrib (Madinah),  kehancuran  Yathrib  merupakan  tanda  permulaan  al-Malhamah,  permulaan  al-Malhamah  merupakan  tanda  pembebasan  Kota  Kostantinopel,  pembebasan  Kota  Kostantinopel  pula  adalah  tanda  kemunculan  Dajjal." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Apabila  meneliti perbahasan hadis al-Malhamah al-Kubra  ini,  peperangan  yang  akan  berlaku  adalah melibatkan  Islam dan Kristian yang  merupakan  seteru permusuhan  yang  sudah  berlaku  pada masa  lalu. Bagaimanapun, dalam  hadis tersebut, Nabi SAW  tidak  menggunakan  perkataan  Nasara  (orang-orang Kristian)  atau  Nasraniyyah  (agama Kristian),  tetapi mengemukakan  nama  Rom. 

Penggunaan  nama  Rom  ini  adalah  sebahagian  simbol kekuatan  golongan  Kristian dan Nasrani dan  mudah difahamai  oleh sahabat  Baginda  pada  waktu tersebut. Pada  saat  tersebut,  golongan  Kristian  adalah mereka yang  mempunyai  kuasa  besar  dan  bertapak  di Rom  melalui  Empayar  Byzantine.  Walau bagaimanapun,  Empayar  Byzantine Rom  telah  dimusnahkan  oleh Sultan Muhammad al-Fateh ketika  pembukaan  Kota  Kostantinopel  pada tahun  1453M.

Menerusi  hadis Baginda  Nabi SAW,  terdapat beberapa  peristiwa  menjelang berlakunya  al-Malhamah al-Kubra. 

Antaranya  fitnah  berlaku  berleluasa. Baginda  SAW  bersabda  maksudnya:  "Akan  berlaku  ketika  hampirnya  al-Malhamah  fitnah-fitnah di mana pada masa  itu  hati  seorang  lelaki  akan mati  sepertimana  badannya  akan  mati." (Hadis Riwayat Abu 'Amr al-Dani)

Fitnah yang  sedang  melanda  umat  akhir  zaman pada  hari ini  akan terus  membarah  sehingga  menjadi  asbab  kepada berlakunya  kematian  dan  pembunuhan.  Dalam  situasi  ini,  setiap  manusia  tidak  akan  terlepas  dari pada fitnah  sehingga mereka  yang  berilmu  dan  beriman  juga  terpalit  dalam fitnah  akhir  zaman  ini.

Dalam  masa  sama,  pasukan  tentera  Islam  mula  ditubuh  dan  diperkuatkan.

Nabi SAW  bersabda maksudnya:  "Keadaan  agama  ini  akan  sampai  kepada  suatu  masa  kamu  sekalian  menjadi  tentera  yang  berpasukan. Satu  pasukan di  Syam,  satu  pasukan  di  Yaman  dan  satu pasukan  di Iraq."  Ibnu  Hawalah  berkata:  "Pilihkan untukku  (tempat  terbaik)  wahai  Rasulullah,  jika  aku menemui  keadaan  tersebut." Lalu  Baginda  bersabda: "Hendaklah  engkau  menetap  di  Syam  kerana  sesungguhnya  ia  adalah  bumi  Allah yang  terpilih  daripada kalangan  hamba-hamba-Nya. Ada pun  jika  kamu  sekalian enggan,  maka  hendaklah  kamu  menetap  di  Yaman  dan  minumlah  dari  kolam-kolam  air  kamu.  Sesungguhnya Allah  telah  menjamin  untukku  (menjaga)  daerah Syam dan penduduknya." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Al-Malhamah  al-Kubra  ini  akan  terjadi  di  A'maq  atau Dabiq,  dua  tempat  yang  berdekatan  dengan  Halab  di Syria dan  Antakia  di Turki. 

Perkara  ini  bersandarkan  kepada  Sabda  Nabi  SAW yang  bermaksud:  "Tidak  akan  terjadi  hari  kiamat  hingga  bangsa  Rom  akan turun  berhimpun  di  A'maq  atau  Dabiq,  lalu  keluar menghadapi  mereka  sekelompok  askar  dari  Madinah  antara sebaik-baik  penduduk  bumi  ketika  itu.  Maka  tatkala  mereka berhadapan,  bangsa  Rom  berkata: "Biarkanlah  kami  memerangi  orang-orang yang  mengambil  tawanan  daripada kami."  Kaum  Muslimin  menjawab: "Tidak, demi Allah, kami  tidak  akan  membiarkan  kamu  memerangi  saudara-saudara  kami."  Maka  terjadilah  peperangan  antara  mereka. Lalu ada  sepertiga  yang  kalah  di mana Allah  tidak  akan mengampuni  dosa  mereka  untuk  selama-lamanya dan  sepertiga lagi  terbunuh  sebagai  sebaik-baik   syuhada di  sisi Allah dan  sepertiga  lagi  akan  memperolehi  kemenangan.  Mereka  tidak akan  ditimpa  sebarang  fitnah  selama-lamanya,  lalu mereka  akan  menakluki  Kostantinopel.  Kemudian  ketika mereka  sedang  membahagikan  harta  rampasan  perang  di mana  mereka  telah  menggantungkan  pedang-pedang  mereka pada  pohon  zaitun  tiba-tiba  syaitan  meneriak  terhadap mereka: "Sesungguhnya  Al-Masih (Dajjal)  telah  muncul dalam  kalangan  keluarga  kalian," maka  mereka pun  segera keluar,  sedangkan  itu  hanyalah  satu  kebohongan.  Apabila mereka  mendatangi  Syam,  ia  pun  muncul.  Maka  ketika mereka  sedang  mempersiapkan  diri  untuk  peperangan  dan  merapikan  barisan,  tibalah  waktu  solat. Lalu  turunlah  Nabi Isa bin Maryam AS,  lalu  ia mengimami  mereka.  Apabila  musuh  Allah (Dajjal)  melihatnya,  nescaya  ia  akan  mencair  sebagaimana  garam  mencair  di  dalam  air.  Seandainya  ia  membiarkannya  sahaja nescaya  ia  juga  akan  mencair  sehingga  binasa,  akan  tetapi Allah  ingin  membunuhnya  dengan  tangannya,  lalu  baginda memperlihatkan  kepada  mereka  darahnya  yang  melekat  di tombaknya."  (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru  itu,  gambaran  peperangan  besar  ini  akan  berlaku pada  ketika  kemunculan  Imam al-Mahdi  dan peperangan yang  berlaku  sengit sehingga  mengambil  masa yang  agak  panjang  dan  mengorbankan  nyawa  yang  ramai.  Walau bagaimanapun,  masanya  hanya  diketahui  Allah SWT.

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/04/690472/perang-menjelang-kiamat 

Matahari Terbit Dari Barat, Usah Bertangguh Taubat

 Matahari terbit dari timur dan terbenam di barat adalah kebiasaan fenomena yang dilihat oleh semua manusia pada setiap hari. Terbitnya matahari dari timur menandakan bermulanya ibadah solat iaitu Subuh diikuti solat Zuhur apabila gelincir matahari ke arah barat. Kemudian Asar dan solat Maghrib apabila terbenamnya matahari di barat. Solat Isyak pula apabila hilangnya cahaya matahari dari langit bumi.

Namun di sebalik fenomena alam ciptaan Allah SWT dengan bumi mengelilingi matahari mengikut peredaran tertentu, Nabi SAW telah memberi peringatan yang besar buat umat Baginda mengenai pertukaran arah terbitnya matahari apabila menjelang kiamat kelak. Tanda ini merujuk kepada tanda besar kiamat apabila matahari akan terbit dari arah barat iaitu tempat terbenamnya ketika ini. 

PINTU taubat kepada Allah terbuka luas buat umat manusia sehingga pada saat  matahari terbit dari barat. FOTO EPA

Persoalannya, kenapa perlu untuk mengetahui mengenai situasi matahari terbit dari barat sedangkan kiamatnya tidak diketahui bila akan berlaku? Dalam hal ini, ada perkara besar yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: "Pada hari datangnya sebahagian tanda-tanda Tuhanmu tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman itu atau ia belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya." (Surah al-An'am ayat 158)

Ath-Thabari dalam tafsirnya ketika menghuraikan ayat ini menjelaskan bahawa tanda-tanda dalam ayat merujuk kepada terbitnya matahari dari arah barat. 

Pada saat itu, tidak berguna lagi iman seseorang itu setelah matahari terbit dari barat. Tiada berguna lagi taubat yang dipanjatkan kepada Allah SWT. Maka, peringatan besar ini bertujuan supaya umat akhir zaman tidak leka dengan dunia dengan bertangguh untuk bertaubat kepada Allah SWT.

Jika disoroti, banyak hadis yang menjelaskan perihal matahari terbit dari barat. Ini mengambarkan mengenai pentingnya peringatan Baginda kepada umatnya. Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SWT bersabda maksudnya: "Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat, maka orang ramai melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya."  (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Baginda Nabi SAW berpesan supaya bersegera melakukan amal soleh sebelum tibanya enam tanda kiamat dan salah satunya adalah terbit matahari dari barat. Dari Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Bersegeralah melakukan amal soleh sebelum datangnya enam perkara iaitu sebelum terbitnya matahari dari barat…" (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila sudah terbit dari barat, maka tertutup pintu-pintu untuk beriman kepada Allah SWT. Bagi mereka yang belum bertaubat sebelum matahari keluar dari barat, perkara yang sama berlaku kepada mereka. Taubat mereka pada ketika itu sudah tidak diterima lagi oleh Allah SWT. Situasi ini akan dilihat oleh manusia yang hidup pada zaman terbabit sehingga mereka mula untuk mengakui dan membenarkan Allah SWT yang tiada manfaat bagi mereka pada ketika itu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata, 'Kami hanya beriman kepada Allah saja dan kami kafir kepada sembahan-sembahan yang telah kami persekutukan dengan Allah. Maka iman mereka tiada berguna bagi mereka tatkala mereka telah melihat seksa Kami. Itulah sunnah Allah yang telah berlaku terhadap hamba-hamba-Nya. Dan pada waktu itu binasalah orang-orang kafir."

Al-Qurtubi menjelaskan bahawa ulama berkata: "Sesungguhnya iman seseorang itu tidak berguna bagi dirinya (yang belum beriman sebelum itu) ketika matahari terbit dari barat. Ini disebabkan perasaan terlalu takut menusuk hati mereka sehingga mematikan segala nafsu syahwat yang bermaharaja dalam diri. Pada ketika ini tubuh menjadi longlai dan keyakinan kiamat telah dekat bagaikan orang yang sedang menghadapi sakaratul maut, tiada lagi keinginan untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Maka taubat mereka pada saat ini sudah tidak diterima lagi oleh Allah seperti taubat orang yang sedang menghadapi sakaratul maut."

Ibnu Katsir berkata: "Apabila orang kafir mula beriman pada waktu itu, maka tidak diterima imannya. Adapun orang yang telah beriman sebelum itu dan beramal soleh, makai a memperoleh kebaikan yang besar sekali. Tetapi, jika ia suka berbuat dosa dan baru bertaubat pada waktu itu, maka taubatnya tidak diterima."

Sabda Nabi SAW maksudnya: "Tugas hijrah itu tidak terputus selama taubat masih diterima. Dan taubat itu masih diterima sehingga matahari mula terbit dari barat. Apabila matahari terbit dari barat, maka dikuncilah setiap hati dengan apa yang ada di dalamnya. Dan cukuplah bagi manusia apa yang telah diamalkannya." (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah pada siang hari dan membentangkan tangan-Nya pada siang hari menerima taubat orang yang bersalah pada malam hari, hingga matahari terbit dari barat." (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis terbabit, Rasulullah SAW menetapkan batas terakhir diterimanya taubat seseorang itu adalah sebelum matahari terbit dari barat. Ibnu Hajar dalam Fathul bari menjelaskan banyak hadis yang menunjukkan pintu taubat tertutup saat matahari terbit dari barat sehingga datangnya hari kiamat.

Pintu taubat kepada Allah terbuka luas buat umat manusia sehingga pada saat nyawa berada pada halqum atau pada saat matahari terbit dari barat. Saat untuk bertaubat tidak boleh dilengah-lengahkan kerana kematian semakin mendekati manusia setiap detik. Mungkin kita tidak akan sempat untuk diperlihatkan dengan matahari terbit dari barat, namun saat kematian itu adalah kiamat kecil manusia. Justeru, sentiasalah mempersiapkan diri dengan bertaubat kepada Allah SWT supaya kematian yang didambakan nanti adalah baik.

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/03/688146/usah-bertangguh-taubat 

Berkongsi Nikmat Rezeki

Rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada semua hambanya adalah berbeza-beza. Ada mereka yang dillimpahkan harta dengan begitu banyak, ada yang dikurniakan anak ramai dan ada pula yang dikurniakan kebahagiaan berpanjangan. 

Namun, tidak semua yang diperoleh itu dapat menggembirakan hati setiap insan. Walaupun, harta melimpah ruah, kadang-kadang hati sentiasa dalam kegusaran. Walaupun anak ramai, harta cukup-cukup makan, namun tetap mencukupi. Walaupun tidak menikmati kesenangan namun hati sentiasa ceria dan wajah berseri. 

Setiap manusia inginkan kesenangan dan harta yang banyak. Dengan harta tersebut, sebenarnya mampu membuka pintu kebaikan yang cukup luas. Harta di sini bukanlah merujuk kepada mereka yang kaya harta semata-mata, bahkan mereka yang mempunyai harta sedikit juga turut mempunyai peluang berbuat kebaikan dengan kadar tertentu.

 SESIAPA yang melepaskan kesusahan seseorang di dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya di hari kiamat.

Sungguh beruntung bagi mereka yang berusaha menjadikan rezeki yang diperoleh sebagai jalan membuat kebaikan seterusnya mendapat keredaan Allah SWT. Terdapat banyak jalan yang boleh dipilih bagi memastikan rezeki yang diperoleh dapat dikongsi bersama. Dalam masa sama, ganjaran yang berganda menanti mereka daripada Allah SWT.

Pertama, infaq kepada pembinaan masjid dan pusat pengajian. Hari ini pembinaan surau, masjid dan pusat pengajian memerlukan pembiayaan yang besar. Melalui iklan yang dibuat dalam media sosial, pihak pengurusan secara langsung mengajak dermawan  untuk sama-sama menyumbang dan dalam masa sama sumbangan itu pasti mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang membina masjid dengan mengharapkan reda Allah, maka Allah akan membina untuknya sebuah rumah dalam syurga." (Hadis  Riwayat al-Bukhari)

Kedua, melalui makanan yang dikongsi bersama. Hakikatnya, tidak semua masyarakat mampu untuk merasai nikmat makanan sebagai mana kita menjamu selera pada hari ini. Walaupun dalam komuniti kejiranan terdekat, pasti ada yang kurang berkemampuan untuk menikmati juadah tertentu.

Peluang ini seharusnya disahut oleh semua pihak dengan berkongsi sedikit juadah yang dibuat atau menerusi kenduri kecil-kecilan yang secara tidak langsung boleh merapatkan hubungan sesama jiran. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menjamu makan seorang Mukmin sehingga mengenyangkannya daripada lapar, maka Allah akan memasukkannya ke sebuah pintu syurga (yang khas). Tiada yang memasukinya melainkan orang sepertinya." (Hadis  Riwayat al-Tabarani)

Selain itu, perkongsian makanan boleh dilakukan melalui makanan yang sengaja dibeli lebih untuk disedekahkan kepada pekerja bawahan. Nikmat yang cukup besar apabila ada mereka yang sudi berkongsi makanan dengan mereka walaupun hanya sebuku roti dan air mineral. 

Bagi mereka yang berkemampuan, ambil juga peluang untuk membayar makanan kawan-kawan yang lain pada masa tertentu. Semoga dengan perbuatan ini, akan bertambah rezeki daripada Allah SWT.

Ketiga, membantu golongan yang tidak berkemampuan khususnya ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat terdekat. Kadang-kadang kita terlalu ingin membantu mereka yang jauh, sedangkan masih ramai kaum kerabat, jiran tetangga yang menghadapi kesusahan dalam kehidupan. 

Bantuan ini tidak semestinya dalam bentuk wang ringit semata-mata, bahkan turut melibatkan cadangan dan pandangan yang akan membantu mereka mendapatkan sumber kewangan tambahan. Contohnya, penjual pisang goreng dalam komuniti kejiranan, bagi memastikan sumber kewangan yang diperoleh meningkat, kita boleh memberi cadangan agar promosi produk diuar-uarkan menerusi media sosial dan kepada seluruh kejiranan. Dengan cara ini, jualan hariannya akan bertambah dan kadar keuntungannya juga meningkat.

Situasi ini sebagai mana sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud: "Orang-orang yang bekerja untuk membantu janda-janda tua dan orang-orang miskin seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau orang yang selalu berpuasa tanpa berbuka atau seperti orang yang bertahajud tanpa tidur." (Hadis  Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perbuatan ini nampak ringan, tetapi besar ganjaran di sisi Allah SWT. Dengan setiap bantuan yang diberikan, sekurang-kurangnya dapat melepaskan kesusahan seseorang daripada masalah yang dihadapi. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang melepaskan kesusahan  seseorang di dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya di hari kiamat." (Hadis  Riwayat Muslim)

Keempat, meminjamkan wang kepada mereka yang memerlukan. Dalam keadaan yang meruncing hari ini, ramai yang terjejas pendapatan sehingga ada yang diberhentikan kerja. Sebagai alternatif, mereka terpaksa membuka gerai makanan atau sebahagiannya menjadi penghantar makanan. Dalam situasi ini, pasti mereka amat memerlukan sumber kewangan untuk dipinjam bagi memastikan tiada hutang tertunggak dan kehidupan mampu berjalan seperti biasa.

Oleh itu, bagi mereka yang berkemampuan, sekiranya ada sahabat atau kaum kerabat ingin meminjam duit, maka pertimbangkanlah sekadar kemampuan yang ada. Hakikatnya, bagi mereka yang mampu untuk meminjamkan duit kepada golongan yang memerlukan ini, maka perbuatan tersebut adalah sangat mulia. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Tidaklah seorang Muslim memberi pinjaman kepada Muslim yang lain sebanyak dua kali, melainkan. (pahalanya) seolah-olah ia telah bersedekah sekali." (Hadis  Riwayat Ibn Majah)

Secara asasnya, rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada hambanya salah satunya adalah untuk menguji manusia itu bagaimana pengurusan harta yang diperoleh dan ke manakah ia diinfaqkan.

Allah SWT berfirman:  "Bandingan orang yang membelanjakan  hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai. Tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya. Allah Maha Luas Kurnia-Nya lagi Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah ayat 261)

Justeru itu, mencari rezeki adalah tuntutan mulia dan kebaikan pada rezeki itu pula adalah pahala yang akan dinilai di sisi Allah SWT.

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/03/684395/berkongsi-nikmat-rezeki 

Fitnah Dajjal, Berusaha Menjauhinya Mulai Sekarang

 SERING kali kita mendengar fitnah terbesar yang akan melanda umat akhir zaman iaitu fitnah dajal. Ada yang mengatakan tidak perlu dirisaukan kerana dajal belum keluar dan ada juga mengatakan kita perlu berwaspada kerana fitnahnya sudah tiba.

Walau apa pun pemahaman kita mengenai fitnah dajal, Nabi SAW mengingatkan umatnya agar bersedia dengan fitnah terbesar ini dan berusaha berlindung daripadanya dengan memberi petunjuk dan bimbingan kepada umatnya dengan sesuatu yang dapat melindungi mereka daripada fitnah dajal.

Nabi SAW meninggalkan dua perkara utama. Sekiranya kita berpegang dengan dua perkara ini maka kita tidak akan sesat sampai bila-bila. Dua perkara tersebut adalah al-Quran dan as-Sunah. Nabi SAW bersabda maksudnya:

"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunahku." Hadis Riwayat al-Hakim

RASULULLAH mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa supaya dijauhkan daripada fitnah dunia dan fitnah dajal.

Manusia akhir zaman akan berhadapan situasi di luar jangkaan khususnya membabitkan fitnah akhir zaman dan fitnah dajal. Maka Nabi SAW memberi petunjuk yang perlu untuk dijadikan amalan bagi mengelakkan diri terjatuh ke lembah fitnah dajal.

Dalam sebuah hadis, daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah dajal." Hadis Riwayat Muslim

Dalam hadis lain, baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan maka baginya cahaya pada hari kiamat dari tempat berdirinya hingga Makkah dan barangsiapa membaca 10 ayat terakhirnya kemudian dajal keluar maka dia tidak akan dapat dikuasainya." Hadis Riwayat Muslim

Imam Nawawi menjelaskan bahawa pada ayat permulaan surah al-Kahfi menceritakan keajaiban dan tanda kebesaran-Nya maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya) tidak akan terkena fitnah dajal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi).

Sepuluh ayat terawal memperihalkan mengenai kenyataan al-Quran dan keadaan orang yang kufur serta orang yang beriman terhadap al-Quran. Sepuluh 10 ayat yang terakhir pula menunjukkan natijah bagi mereka yang beriman dan kufur. Dengan menghafal ayat awal dan ayat akhir surah itu akan menambahkan keimanan bagi mereka yang benar-benar mentadabburkan ayat al-Quran serta mengharap pemeliharaan Allah SWT daripada fitnah dajal.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Maka apakah orang kafir menyangka mereka dapat mengambil hamba-Ku menjadi penolong selain Aku…" Surah al-Kahfi ayat 102

Wasiat Rasulullah ini agar berlindung dengan Allah daripada fitnah dajal disebabkan manusia akhir zaman mendapat ujian keimanan yang begitu berat. Tambahan pula pada akhir zaman ini tentangan terhadap Islam semakin kuat sehingga Rasulullah SAW bersabda: "Akan sampai satu masa manusia yang mempunyai kesabaran pada agamanya akan menjadi seperti orang yang menggenggam bara api." Hadis Riwayat al-Tirmizi

Hadis ini menggambarkan akan perihal dan keadaan manusia pada akhir zaman yang penuh dengan cabaran serta ujian bagi orang yang ingin berpegang dengan agama. Pada waktu itu, umat Islam perlulah menjaga agama mereka dan pada masa yang sama perlu meninggalkan nikmat dunia yang sementara ini. Tambahan pula, persekitaran dan suasana pada waktu itu tidak membantu seseorang untuk menunaikan segala kewajipan serta tuntutan agama, bahkan apa yang ada di sekelilingnya lebih mendorong untuk melakukan maksiat dan perkara yang boleh meruntuhkan keimanan seseorang. Disebabkan itu, Nabi SAW mengumpamakan orang yang hidup pada zaman itu seperti seorang yang memegang bara api dalam melaksanakan tuntutan agama.

Selain itu, umat akhir zaman perlu sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan memperbanyakkan zikrullah agar diselamatkan daripada fitnah.

Nabi SAW menganjurkan agar membaca doa selepas tahiyat akhir sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahud akhir maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian serta daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajal." Hadis Riwayat Muslim

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Mush'ab bin Saad bin Abi Waqash, dia berkata, "Saad memerintahkan lima perkara yang diperintahkan oleh Nabi SAW antaranya berdoa dengan memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada fitnah dunia iaitu fitnah dajal.

Imam Thawus bin Kaisan, apabila anaknya selesai solat akan bertanya: Adakah beliau sudah membaca doa ini. Jika dijawabnya tidak, nescaya diminta mengulangi solat dan membaca doa ini. Perkara ini menunjukkan betapa besarnya perhatian kaum salaf untuk mengajar putera mereka dengan doa yang agung ini.

Imam As-Safarini pula berkata, "Sepatutnya setiap orang alim menyampaikan hadis dajal kepada anak perempuan dan lelaki. Dan disebutkan dalam riwayat bahawa di antara tanda kemunculan dajal ialah telah lupanya orang menyebut di mimbar-mimbar"

Selanjutnya beliau mengatakan, "Apatah lagi pada zaman kita ini yang banyak fitnah dan ujian, sunah dianggap bidaah dan bidaah dianggap sebagai syariat yang harus diikuti." Lawami'ul-Anwaril Bahiyyah

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa mendengar ada dajal maka hendaklah dia bersembunyi daripadanya. Demi Allah ada seseorang yang mendatanginya dan dia mengira bahawa ia beriman kemudian dia mengikutinya kerana banyak subahat serta kesamaran yang menyertainya." Hadis Riwayat Ahmad

Oleh itu, berlari dan menjauhi dajal adalah perkara yang perlu dimulakan dari sekarang dan bukan menunggu dajal keluar terlebih dahulu. Apabila dajal muncul, setiap Muslim mesti menjauhinya kerana pelbagai kesamaran dan kejadian luar biasa yang dikurniakan kepadanya menyebabkan ramai manusia akan mengikutinya. Maka kita perlu sentiasa memohon perlindungan Allah semoga dilindungi daripada fitnah dajal.

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/02/674858/berusaha-menjauhinya-mulai-sekarang 

Tanda Kiamat; Penulisan Pantas Tersebar

PENULISAN pada hari ini dilihat semakin pantas berkembang dan tersebar ke seluruh pelosok dunia dalam tempoh yang begitu singkat. Menggunakan platform media sosial, penulisan menjadi kebiasaan bagi masyarakat untuk meluahkan pandangan serta berkongsi maklumat dengan yang lain. 

Dalam masa sama, mereka yang mengikuti penulisan tersebut mampu memberi pandangan serta komentar secara tidak langsung menghidupkan budaya penulisan akhir-akhir ini.

Namun, tersebarnya penulisan ini adalah antara salah satu tanda daripada tanda-tanda hampirnya kiamat yang dijelaskan oleh Baginda Nabi SAW. Tanda ini secara umumnya sedang berlaku, namun tidak disedari oleh manusia. Kemudahan untuk mendapatkan alat tulis atau alat untuk menghasilkan tulisan ini menjadikan penulisan pantas untuk disebarkan sama ada melalui percetakan atau secara dalam talian. 

MUNCULNYA pena mengisyaratkan tersebarnya karya serta buku seluas-luasnya sehingga mudah diperoleh walaupun dibatasi jarak yang jauh.

Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Sesungguhnya di antara tanda-tanda hari kiamat antara lain, mengucap salam kepada orang tertentu, aktiviti jual beli semakin banyak (sehingga seorang isteri membantu suaminya dalam urusan perniagaan), terputusnya tali silaturahim, banyak kesaksian palsu dan tersembunyi kesaksian yang benar serta munculnya pena." (Hadis  Riwayat Al-Albani, hadis  no. 647)

Hadis  di atas merangkumi lima tanda yang digambarkan oleh Baginda Nabi SAW yang menunjukkan kedudukan umat Islam pada akhir zaman iaitu mereka yang hanya memberi salam hanya kepada orang tertentu atau kenalan sahaja, aktiviti perniagaan semakin meluas sehingga isteri berusaha membantu suami dalam berniaga, ikatan sesama Muslim mudah terputus dan banyak berlaku konflik, timbulnya mereka yang menjadi saksi palsu dan saksi yang benar tersembunyi dan yang terakhir munculnya pena atau kemudahan untuk memiliki pena adalah sangat mudah.

Terdapat beberapa pandangan yang terhasil daripada pemahaman hadis berkaitan kemudahan untuk memperoleh alat tulis atau pena. Sebagaimana yang diketahui, pena adalah alat utama dalam menghasilkan sesebuah karya tulisan atau karangan serta simbol pengetahuan. Walaubagaimanapun, perkembangan teknologi memperlihatkan penggunaan 'pena' menerusi komputer dan telefon pintar menjadikan penulisan berlaku dalam tempoh singkat. 

Munculnya pena dalam hadis tersebut juga mengisyaratkan tersebarnya karya serta buku dengan seluas-luasnya sehingga mudah untuk diperoleh walaupun dibatasi jarak yang jauh. Pada saat ini, percetakan buku dihasilkan dalam bilangan yang banyak dalam tempoh singkat berbanding pada zaman dahulu. Hal ini terbukti dengan kewujudan kedai buku di serata dunia sehingga bahan bacaan mudah diperolehi dan dimiliki dengan kadar segera.

Tidak terhenti dengan percetakan sahaja, tersebarnya alat teknologi canggih memperlihatkan pena dan buku telah masuk dalam sistem digital sepenuhnya. Pembentukan ebook menyaksikan karya penulisan dapat diperoleh dengan lebih mudah. Penggunaan ebook ini membolehkan pembaca meneliti karya tersebut melalui peranti seperti telefon pintar dan tablet pada bila-bila masa tanpa perlu membawa helaian atau buku yang berkaitan.

Dalam pada itu, terdapat pandangan lain yang mengatakan fenomena tersebarnya pena bermaksud ilmu pengetahuan yang terdapat pada manusia pada zaman ini cukup tinggi sehingga ramai di antara kita mudah memahami sesuatu ilmu dalam tempoh singkat. Hasilnya, wujud ramai bijak pandai dan ramai juga yang mampu menulis dan menghasilkan karya dalam perbagai disiplin ilmu. 

Allah SWT berfirman maksudnya: "Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.  Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.  Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-Alaq ayat 3-5)

Konsep Iqra' berdasarkan surah al-Alaq menyeru manusia untuk membaca bagi menambah ilmu pengetahuan. Dengan bertambahnya pengetahuan, sudah pasti manusia dapat membezakan di antara perkara yang hak dan batil. Allah SWT memberi nikmat besar kepada manusia yang membezakan dengan makhluk ciptaan-Nya yang lain iaitu akal. Dengan akal, manusia mampu membaca dan memahami ilmu yang disebarkan melalui pena penulisan sehingga menjadikan manusia makhluk berilmu dan berpengetahuan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menjelaskan akan wujud ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Berkata Ibn Mas'ud RA bahawa Allah SWT memuji ulama di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat.

Kewujudan pena berfungsi merakam apa sahaja yang terlintas di fikiran seseorang. Fenomena ini jelas berbeza dengan situasi yang ada pada zaman dahulu iaitu kekurangan pena menyebabkan ilmu yang diperoleh terus dihafal dan melekat dalam dada mereka dan sukar disebarkan. Hari ini, ilmu yang diperoleh disalurkan menerusi penulisan sehingga dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat di luar sana.

Namun, Yusuf bin Abdullah bin Yusuf al-Wabil menjelaskan dalam kitab Asrat al-Saah, di sebalik perkembangan penulisan ini, banyak pula kebodohan yang muncul di kalangan masyarakat apabila mengambil pemahaman sesuatu penulisan tersebut secara bulat-bulat tanpa meneliti kebenarannya. Perkara ini menjadi semakin parah apabila ilmu berkaitan al-Quran dan as-Sunnah diremehkan. Penulisan yang diperoleh dan dihasilkan menerusi logik akal semata-mata tanpa melihat kepada dua khazanah utama Islam ini.

Kesannya, masyarakat mudah melenting dan melatah apabila sesuatu perkara yang dikhabarkan mengatasi logik akal mereka, walhal perkara tersebut adalah kebenaran daripada al-Quran dan as-Sunah.

Justeru itu, tersebarnya pena penulisan adalah salah satu tanda kiamat. Dengan akal yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia, maka pilihlah karya penulisan yang terbaik yang dapat menambah ilmu pengetahuan sekali gus mendekatkan diri kepada Allah SWT.

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/02/670027/penulisan-pantas-tersebar