Mutakhir ini gelaran Imam al-Mahdi menjadi sebutan dan gelaran yang sewenang-wenangnya diguna pakai oleh mereka yang berkepentingan. Mereka yang dimaksudkan ini merujuk kepada golongan sesat dan menyesatkan umat akhir zaman. Di sebalik kewujudan golongan yang mengaku sebagai nabi palsu, wujud pula Imam Al-Mahdi palsu yang dikatakan mampu menunjukkan jalan kebenaran. Pengikut-pengikutnya pula membesarkan-besarkan sehingga ada yang menjadi sembahan kepada pengikutnya.
Di antara individu yang pernah membuat dakwaan bahawa dia adalah al-Mahdi ialah Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah yang merupakan pengasas Daulah Fathimiyah. Muhammad bin Tumart membuat dakwaan jahat lagi dusta bahawa dirinya adalah al-Mahdi al-Muntazhar. Al-Mahdi kelompok Kaisan yang menyangka bahawa al-Mahdi adalah Muhammad bin al-Hanafiah. Kewujudan individu ini secara asasnya adalah keyakinan mereka bahawa akan turunnya Imam al-Mahdi namun disebabkan ketaasuban, mereka dengan sendirinya melantik diri mereka sebagai al-Mahdi akhir zaman.
Imam al-Mahdi adalah manusia yang akan muncul di akhir zaman sebagaimana hadis yang menceritakan perihal beliau. Peranan beliau adalah menguasai keseluruhan bangsa Arab sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Beliau akan turut serta memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama selama tujuh tahun. Perkara ini berdasarkan hadis Baginda Nabi SAW yang bermaksud: "Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun." (Hadis Riwayat Abu Daud)
Al-Mahdi ialah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib RA . Dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib. Sebahagian ulama pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus. Bagaimanapun, pendapat yang paling tepat ialah yang diriwayatkan dari Abu Nu'aim dari Hammad dari Ali bin Abi Thalib RA bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah.
Kemunculan Imam Al-Mahdi ini adalah petunjuk kepada sekalian manusia yang mula hanyut dan terpalit dengan kezaliman yang banyak berlaku.
Salasilah keturunan Imam Al-Mahdi ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW Daripada Abdullah bin Mas'ud RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman." (Hadis Riwayat Abu Daud)
Menurut al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah: Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya."
Diriwayatkan daripada Thauban RA beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: "Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi." (Hadis Riwayat al-Hakim)
Berdasarkan perbahasan ulama, terdapat tanda yang terdapat pada Imam Al-Mahdi antaranya, di bahagian bahu beliau terdapat tanda yang sama pada bahu Nabi SAW. Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa AS dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya. Pada ketika itu, penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar. Keistimewaan beliau juga iaitu apabila menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.
Sementara sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi AS adalah seperti berikut:
1. Beliau adalah seorang anak Adam.
2. Dahinya luas dan hidungnya mancung.
3. Kedua-dua matanya bercelak.
4. Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
5. Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.
6. Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
7. Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
8. Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW.
Al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir dalam kitab al-Fitan wal-Malahim berkata: "Aku menyangka bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku ketika turunnya Nabi Isa AS. Ini berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abd Allah RA beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Isa bin Maryam SAW turun lalu berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi): "Marilah solat bersama kami. Lalu Isa berkata: 'Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini.'" (Hadis Riwayat Muslim)
Bagaimanapun, terdapat beberapa pandangan daripada ulama berkaitan kemunculan Imam al-Mahdi: Pandangan pertama: Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah SWT utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia sudah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini.
Ibn Khaldun menjelaskan bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya kelak akan munculnya seorang lelaki dari kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan dan diikuti oleh kaum Muslimin dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai al Al-Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al Al-Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya.
Pandangan kedua: Mereka yang menolak kewujudan al-Mahdi dan menafikan kemunculannya pada akhir zaman disebabkan kelemahan dalam pemahaman terhadap hadis akhir zaman.
Justeru itu, Imam al-Mahdi adalah salah satu tanda daripada tanda kiamat besar yang akan berlaku kelak. Maka kepercayaan terhadap kewujudannya adalah sebagaimana keimanan kita terhadap hari kiamat yang akan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.