Salah satu tanda yang semakin jelas kelihatan pada zaman ini adalah munculnya minuman yang mengelirukan umat manusia sehingga arak boleh dijadikan minuman yang halal apabila bertukar nama atau labelnya. Perkara ini lebih parah apabila umat Islam yang nyata mengetahui pengharaman arak tanpa segan silu menjadikan minuman terlarang ini suatu yang halal bagi mereka. Perkara ini termasuk dalam sebahagian tanda dekatnya kiamat. Terdapat beberapa hadis daripada baginda Nabi SAW yang menggambarkan situasi ini.
Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya, di antara tanda-tanda hari kiamat adalah diangkatnya ilmu, ditetapkan kejahilan (kebodohan), arak dijadikan minuman dan zina berlaku di mana-mana." (Hadis Riwayat al-Bukhari, hadis no. 80)
Dalam hadis lain, dalam bab membicarakan Ma'azif (alat muzik) disebut juga bahawa di kalangan umat Islam ini akan yang turut berkait juga muncul orang-orang yang menghalalkan minum arak. Daripada Imran bin Husain RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Dalam kalangan umat aku ini akan ada yang terbenam ke dalam bumi, menjelma menjadi makhluk lain serta hujan batu turun dari langit". Maka berkata salah seorang sahabat: 'Wahai Rasulullah, mengapa perkara ini terjadi?". Baginda menjawab: "Jika penyanyi dan pemain muzik banyak yang muncul dan ketika arak dijadikan minuman.'" (Hadis Riwayat At-Tirmidzi hadis no. 2309)
Pada hari ini, kita diperlihatkan dengan nama dan label minuman arak yang bermacam-macam sehingga ada yang dibuat khusus untuk tenaga dan membangkitkan semangat. Situasi ini semakin membimbangkan apabila sewenang-wenangnya diletakkan bersama minuman halal yang lain. Perkara ini sebagaimana yang digambarkan oleh baginda Nabi SAW yang bermaksud: "Malam dan siang tidak akan bergerak (dunia tidak akan hancur) sehingga segolongan dari umatku meminum arak dan mereka menamainya dengan dengan nama yang lain." (Hadis Riwayat al-Bukhari hadis no. 7121)
Pada riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya umatku ini akan meneguk arak dengan menyebutnya bukan dengan namanya, di hadapan mereka dimainkan muzik dengan diiringi oleh penyanyi. Maka Allah akan membenamkan mereka ke perut bumi dan menjadikan sebahagian mereka sebagai kera dan babi." (Hadis Riwayat Ibn Majah, hadis no. 4020)
Tanda kiamat ini semakin jelas kelihatan dan mempunyai hubungan erat dengan tanda kiamat yang lain seperti berleluasa zina dan kejahilan di kalangan manusia. Arak atau khamar ini mula melalui proses transfomasi nama dengan penyebutan yang berbeza dan mengelirukan.
Hasilnya, arak yang nyata haram kedudukannya mula menjadi minuman dihalalkan apabila sebutan dan penjenamaannya bertukar.
Walaupun al-Quran dan as-sunnah jelas menyatakan kedudukan arak adalah haram di sisi umat Islam, namun kewujudan manusia yang bertopengkan syaitan terus menerus menghasut umat Islam khususnya golongan remaja untuk mencuba arak. Penjenamaan arak ini melibatkan jenama minuman bertenaga, minuman yang menjadi penaja kepada kejohanan sukan dan nama-nama yang menarik minat manusia untuk mencuba.
Antara nama arak yang popular sebagaimana yang dijelaskan oleh Nor Musfirah binti Mohamad (2011) dalam kajian berkaitan penggunaan alkohol dalam pemakanan menurut perspektif syarak:
1. Wain dihasilkan dengan menapai anggur hancur menggunakan pelbagai jenis yis yang memakan gula terdapat dalam anggur dan menukar mereka kepada bentuk alkohol.
2. Bir adalah minuman beralkohol tertua di dunia yang dihasilkan melalui pendidihan dan penapaian kanji yang diperoleh
dari bijirin seperti gandum, jagung dan beras.
3. Vodka diperbuat daripada penapaian bahan-bahan seperti bijian, gandum, kentang, anggur, atau gula ubi. Vodka adalah antara arak yang paling popular di dunia.
4. Wiski minuman beralkohol yang disulingkan ditapai dari lecekan bijian seperti barli, gandum, jagung dan lain-lain.
5. Tequila diperbuat daripada tumbuhan agav yang banyak ditanam di Mexico. Tequila ialah satu daripada arak yang paling popular di dunia.
6. Brandy disulingkan daripada buah kebiasaannya anggur. Dikenali Sebagai fired wain dan menjadi popular untuk beratus tahun. Arak jenis ini sering digunakan dalam masakan.
Secara umumnya, petanda ini telah wujud sejak zaman dahulu lagi iaitu
ketika orang-orang jahiliyah menyebut arak dengan nama nabidz (sari
anggur) iaitu satu nama yang menggantikan penyebutan khamar (arak) yang
dilarang oleh Allah SWT
Abu Muslim al-Khulani bertemu Aisyah RA ketika menunaikan haji. Dia bertanya kepada Aisyah RA mengenai kota Syam yang begitu dingin.
"Wahai Ummul Mukminin, mereka itu (penduduk Syam) meminum minuman yang disebut dengan ath-Thila', bagaimanakah hukumnya? Aisyah RA menjawab: "Sungguh benar apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW dan dialah orang yang benar-benar menyampaikan risalah-Nya. Ketauhilah, sesungguhnya Baginda pernah bersabda: 'Di antara umatku ini akan ada orang yang meminum khamar dan mereka menyebutnya bukan dengan namanya.'"
Arak adalah sejenis minuman kegemaran orang bangsa Arab sejak dari zaman jahiliyah dan juga sesudah kedatangan Islam malahan sahabat-sahabat Rasulullah SAW sendiripun meminum arak kerana ketika itu, larangan Allah terhadap minuman ini belum ada.
Arak dijadikan minuman utama dalam jamuan yang diadakan dan diterima sebagai suatu kebiasaan dalam kehidupan.
Apabila sahabat sedar akibat daripada minuman arak itu dapat menghilangkan pertimbangan akal yang mana dapat mengakibatkan seseorang itu tanpa segan silu akan melakukan perkara yang mengaibkan mengganggu masyarakat dengan perbuatan jenayah dan maksiat, merekapun datang mengadap Rasulullah.
Umar al- Khattab mengajukan soalan kepada baginda: "Apakah hukum di atas perbuatan meminum arak yang memabukkan hingga menyebabkan seseorang hilang kewarasan akalnya lalu menimbulkan kekacauan terhadap orang di sekelilingnya.
Kemudian baginda berdoa kemudian berkata: "Ya Allah, jelaskanlah kepada kami hukum meminum arak sebagai mana keterangan yang muktamad yang melapangkan hati tanpa bertakwil lagi."
Setelah itu barulah turun ayat yang menerangkan hukum meminum arak yang tersebut. Allah SWT berfirman: "Bertanya mereka kepadamu, Wahai Muhammad, mengenai hukum arak dan judi. Katakanlah bahawa keduanya itu adalah dosa-dosa besar sekalipun ada manfaatnya bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya." (al-Baqarah Ayat 219)
Justeru itu, umat Islam amat perlu mengambil tahu nama dan label arak yang digunakan agar tidak terperangkap dengan iklan yang diuarkan-uarkan sehingga terminum minuman yang telah nyata pengharamannya.
https://www.hmetro.com.my/addin/2020/12/648338/tukar-nama-konon-halal