Matahari terbit dari timur dan terbenam di barat adalah kebiasaan fenomena yang dilihat oleh semua manusia pada setiap hari. Terbitnya matahari dari timur menandakan bermulanya ibadah solat iaitu Subuh diikuti solat Zuhur apabila gelincir matahari ke arah barat. Kemudian Asar dan solat Maghrib apabila terbenamnya matahari di barat. Solat Isyak pula apabila hilangnya cahaya matahari dari langit bumi.
Namun di sebalik fenomena alam ciptaan Allah SWT dengan bumi mengelilingi matahari mengikut peredaran tertentu, Nabi SAW telah memberi peringatan yang besar buat umat Baginda mengenai pertukaran arah terbitnya matahari apabila menjelang kiamat kelak. Tanda ini merujuk kepada tanda besar kiamat apabila matahari akan terbit dari arah barat iaitu tempat terbenamnya ketika ini.
Persoalannya, kenapa perlu untuk mengetahui mengenai situasi matahari terbit dari barat sedangkan kiamatnya tidak diketahui bila akan berlaku? Dalam hal ini, ada perkara besar yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: "Pada hari datangnya sebahagian tanda-tanda Tuhanmu tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman itu atau ia belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya." (Surah al-An'am ayat 158)
Ath-Thabari dalam tafsirnya ketika menghuraikan ayat ini menjelaskan bahawa tanda-tanda dalam ayat merujuk kepada terbitnya matahari dari arah barat.
Pada saat itu, tidak berguna lagi iman seseorang itu setelah matahari terbit dari barat. Tiada berguna lagi taubat yang dipanjatkan kepada Allah SWT. Maka, peringatan besar ini bertujuan supaya umat akhir zaman tidak leka dengan dunia dengan bertangguh untuk bertaubat kepada Allah SWT.
Jika disoroti, banyak hadis yang menjelaskan perihal matahari terbit dari barat. Ini mengambarkan mengenai pentingnya peringatan Baginda kepada umatnya. Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SWT bersabda maksudnya: "Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat, maka orang ramai melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis yang lain, Baginda Nabi SAW berpesan supaya bersegera melakukan amal soleh sebelum tibanya enam tanda kiamat dan salah satunya adalah terbit matahari dari barat. Dari Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Bersegeralah melakukan amal soleh sebelum datangnya enam perkara iaitu sebelum terbitnya matahari dari barat…" (Hadis Riwayat Muslim)
Apabila sudah terbit dari barat, maka tertutup pintu-pintu untuk beriman kepada Allah SWT. Bagi mereka yang belum bertaubat sebelum matahari keluar dari barat, perkara yang sama berlaku kepada mereka. Taubat mereka pada ketika itu sudah tidak diterima lagi oleh Allah SWT. Situasi ini akan dilihat oleh manusia yang hidup pada zaman terbabit sehingga mereka mula untuk mengakui dan membenarkan Allah SWT yang tiada manfaat bagi mereka pada ketika itu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata, 'Kami hanya beriman kepada Allah saja dan kami kafir kepada sembahan-sembahan yang telah kami persekutukan dengan Allah. Maka iman mereka tiada berguna bagi mereka tatkala mereka telah melihat seksa Kami. Itulah sunnah Allah yang telah berlaku terhadap hamba-hamba-Nya. Dan pada waktu itu binasalah orang-orang kafir."
Al-Qurtubi menjelaskan bahawa ulama berkata: "Sesungguhnya iman seseorang itu tidak berguna bagi dirinya (yang belum beriman sebelum itu) ketika matahari terbit dari barat. Ini disebabkan perasaan terlalu takut menusuk hati mereka sehingga mematikan segala nafsu syahwat yang bermaharaja dalam diri. Pada ketika ini tubuh menjadi longlai dan keyakinan kiamat telah dekat bagaikan orang yang sedang menghadapi sakaratul maut, tiada lagi keinginan untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Maka taubat mereka pada saat ini sudah tidak diterima lagi oleh Allah seperti taubat orang yang sedang menghadapi sakaratul maut."
Ibnu Katsir berkata: "Apabila orang kafir mula beriman pada waktu itu, maka tidak diterima imannya. Adapun orang yang telah beriman sebelum itu dan beramal soleh, makai a memperoleh kebaikan yang besar sekali. Tetapi, jika ia suka berbuat dosa dan baru bertaubat pada waktu itu, maka taubatnya tidak diterima."
Sabda Nabi SAW maksudnya: "Tugas hijrah itu tidak terputus selama taubat masih diterima. Dan taubat itu masih diterima sehingga matahari mula terbit dari barat. Apabila matahari terbit dari barat, maka dikuncilah setiap hati dengan apa yang ada di dalamnya. Dan cukuplah bagi manusia apa yang telah diamalkannya." (Hadis Riwayat Ahmad)
Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah pada siang hari dan membentangkan tangan-Nya pada siang hari menerima taubat orang yang bersalah pada malam hari, hingga matahari terbit dari barat." (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis terbabit, Rasulullah SAW menetapkan batas terakhir diterimanya taubat seseorang itu adalah sebelum matahari terbit dari barat. Ibnu Hajar dalam Fathul bari menjelaskan banyak hadis yang menunjukkan pintu taubat tertutup saat matahari terbit dari barat sehingga datangnya hari kiamat.
Pintu taubat kepada Allah terbuka luas buat umat manusia sehingga pada saat nyawa berada pada halqum atau pada saat matahari terbit dari barat. Saat untuk bertaubat tidak boleh dilengah-lengahkan kerana kematian semakin mendekati manusia setiap detik. Mungkin kita tidak akan sempat untuk diperlihatkan dengan matahari terbit dari barat, namun saat kematian itu adalah kiamat kecil manusia. Justeru, sentiasalah mempersiapkan diri dengan bertaubat kepada Allah SWT supaya kematian yang didambakan nanti adalah baik.
https://www.hmetro.com.my/addin/2021/03/688146/usah-bertangguh-taubat