Kisah Dajjal Dan Al-Jassasah

Diriwayatkan daripada Fatimah binti Qais RA, beliau berkata: "Aku telah mendengar muazzin Rasulullah SAW memanggil untuk solat. Aku pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah SAW.

"Apabila Rasulullah SAW selesai solat, Baginda duduk di atas mimbar lalu sambil tersenyum Baginda bersabda: 'Setiap orang tetaplah duduk di tempat solatnya.' Kemudian Baginda bersabda: 'Tahukah kamu kenapa aku mengumpulkan kamu semua?' Sahabat menjawab: 'Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.' Kemudian Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  'Demi Allah, sesungguhnya aku mengumpulkan kamu bukanlah untuk suatu khabar gembira atau khabar buruk, akan tetapi aku mengumpulkan kamu kerana Tamim al-Dari, yang dahulunya seorang Nasrani kini telah memeluk Islam dan berbai'ah kepadaku. Ia telah mengatakan sesuatu yang pernah aku katakan kepada kamu tentang al-Masih Dajjal. Ia mengisahkan perjalanannya kepadaku bahawa dia belayar bersama 30 orang daripada Kabilah Lakham dan Judzam dengan sebuah kapal laut. Kemudian mereka terumbang-ambing oleh ombak selama satu bulan. Hingga mereka terdampar di sebuah pulau di tengah laut di kawasan tempat terbenamnya matahari. Lalu mereka berehat di suatu tempat yang dekat dengan kapal.

MAKKAH dan Madinah adalah dua tempat yang tidak dapat dimasuki Dajjal kerana dijaga oleh malaikat.

Kemudian, mereka mendarat di pulau tersebut dan bertemu dengan satu makhluk yang berbulu lebat, sehingga mereka tidak dapat menganggarkan mana ekornya dan mana kepalanya kerana tertutup oleh bulunya yang terlalu banyak.

Mereka berkata: 'Celaka, daripada jenis apakah kamu ini.'

Ia menjawab: 'Aku adalah Al-Jassasah.'

Mereka bertanya: 'Apakah Al-Jassasah itu?'

Tanpa menjawab soalan mereka, lalu ia berkata: 'Wahai kamu, lihatlah seorang lelaki yang berada di rumah terpencil itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengar maklumat daripada kamu!'

Tamim al-Dari berkata: 'Ketika ia menjelaskan kepada kami tentang lelaki itu, kami pun terkejut kerana kami menyangka bahawa ia adalah syaitan. Lalu kami akan berangkat sehingga kami memasuki rumah tersebut, di sana terdapat seorang manusia yang paling besar (yang tidak pernah kami lihat sebelum ini) dalam keadaan terikat sangat kuat. Kedua-dua tangannya terikat ke bahunya serta antara dua lutut dan kedua-dua mata kakinya terbelenggu dengan besi.'

Kami berkata: 'Celaka, siapakah kamu ini?' Ia menjawab: 'Takdir telah menentukan bahawa kamu akan menyampaikan maklumat kepadaku, maka khabarkanlah kepadaku siapakah kamu ini?'

Mereka menjawab: 'Kami adalah orang-orang Arab yang berlayar dengan sebuah kapal, tiba-tiba kami menghadapi sebuah laut yang bergoncang, lalu kami terumbang-ambing di tengah laut selama satu bulan, dan terdamparlah kami di pulau ini. Lalu kami duduk di tempat yang berdekatan dengan kapal, kemudian kami masuk pulau ini, maka kami bertemu dengan seekor binatang yang sangat banyak bulunya yang tidak dapat dianggarkan mana ekor dan mana kepalanya kerana banyak bulunya.

Maka kami berkata: 'Celaka, apakah kamu ini?'

Ia menjawab: 'Aku adalah Al-Jassasah.'

Kami bertanya: 'Apakah Al-Jassasah itu?'

(Tanpa menjawab soalan kami), ia berkata: 'Wahai kamu, lihatlah seorang lelaki yang berada di rumah terpencil itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengar maklumat daripada kamu!'

Lalu kami segera menuju tempat kamu ini dan kami terkejut bercampur takut kerana menyangka bahawa ia adalah syaitan.

'Lelaki besar yang terikat itu bertanya: 'Beritahu kepada aku tentang pohon kurma yang ada di Daerah Baisan?'

Kami bertanya: 'Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?'

Ia berkata: 'Aku bertanya sama ada pohon kurma itu berbuah?'

Kami menjawab: 'Ya.'

Ia berkata: 'Adapun pohon kurma itu maka hampir saja tidak akan berbuah lagi.'

Kemudian ia berkata: 'Beritahu kepadaku tentang Tasik Galilee.'

Mereka berkata: 'Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?'

Ia bertanya: 'Apakah ia masih tetap berair?'

Mereka menjawab: 'Airnya masih banyak.'

Ia berkata: 'Adapun airnya, maka hampir sahaja akan habis.'

Kemudian ia berkata lagi: 'Beritahu kepada Aku tentang mata air Zugar.'

Mereka menjawab: 'Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?'

Ia bertanya: 'Apakah di sana masih ada air dan penduduk di sana masih bertani dengan menggunakan air dari mata air Zugar itu?'

Kami menjawab: 'Benar, ia berair banyak dan penduduknya bertani dari mata air itu.'

Lalu ia berkata lagi: 'Beritahu kepadaku tentang Nabi yang ummi (tidak boleh tulis baca), apa sajakah yang sudah ia perbuat?'

Mereka menjawab: 'Dia telah keluar dari Makkah dan menetap di Yathrib (Madinah).'

Lalu ia bertanya: 'Apakah ia diperangi oleh orang-orang Arab?'

Kami menjawab: 'Ya.'

Ia bertanya: 'Apakah yang dia lakukan terhadap mereka?'

Maka kami memberitahu kepadanya bahawa Nabi itu telah menundukkan orang-orang Arab yang bersama dengannya dan mereka mentaatinya.

Lalu ia berkata: 'Apakah itu semua telah berlaku?'

Kami menjawab: 'Ya.'

Ia berkata: 'Sesungguhnya adalah lebih baik bagi mereka untuk mentaatinya dan sungguh aku akan mengatakan kepada kamu tentang diriku. Aku adalah al-Masih Dajjal dan sesungguhnya aku hampir saja dibenarkan untuk keluar. Maka aku akan keluar dan berjalan di muka bumi dan tidak ada satu pun negeri kecuali aku memasukinya dalam masa 40 malam selain Makkah dan Thaibah (Madinah), kedua-dua negeri itu terlarang bagiku. Setiap kali aku ingin memasuki salah satu daripada negeri itu maka aku dihadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan sangat tajam untuk menghambatku dari kedua-dua negeri tersebut. Dan di setiap jalan-jalan yang ada di Kota Madinah terdapat malaikat yang menjaganya.'

Fatimah berkata: "Rasulullah SAW bersabda sambil menghentakkan tongkatnya di atas mimbar. Inilah Thaibah, inilah Thaibah, inilah Thaibah (maksudnya Kota Madinah). Bukankah aku sudah menyampaikan kepada kamu tentang hal itu?" Sahabat menjawab: "Benar.".Baginda SAW bersabda: "Aku tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Tamim al-Dari kerana ia bersesuaian dengan apa yang pernah aku sampaikan kepada kamu tentang dia (Dajjal) dan tentang Madinah dan Makkah. Ketahuilah, tempatnya (Dajjal) terletak di laut Syam atau laut Yaman. Ia datang dari arah Timur, dari arah Timur, dari arah Timur. Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya ke arah Timur." (Hadis Riwayat Muslim, 7496)

Rujukan daripada  Asrat al-Saah oleh Syeikh Yusuf bin Abdullah Yusuf al-Wabil dan al-Mausu'ah fi al-Fitan wa al-Malahim wa Asrat al-Saah oleh Syeikh Dr Ahmad Muhammad al-Mubayad.

https://www.hmetro.com.my/addin/2021/06/713639/kisah-dajjal-al-jassasah