Isyarat besar hampir kiamat: Pembunuhan Berleluasa

 Beberapa hari ini kita digemparkan dengan tragedi pembunuhan kejam berlaku di dua tempat berbeza. Kejadian menyayat hati ini rentetan daripada peristiwa pembunuhan manusia yang sentiasa berlaku di dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripada berlakunya tragedi sedemikian.

Peristiwa pembunuhan ini antara isyarat besar yang dinyatakan oleh Nabi SAW sebagai tanda hampirnya dunia ini dengan kiamat. Menghampiri kepada saat itu, semakin banyak pembunuhan berlaku membabitkan banyak pihak. Perkara ini semakin hari menjadi parah dengan tragedi sedemikian menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

Daripada Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Menjelang kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana. Abu Musa berkata: 'al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi.'" Hadis Riwayat Al-Bukhari. Kitab al-Fitan, hadis no. 7067

Hadis ini menjelaskan maksud al-Harj yang merujuk kepada pembunuhan yang berlaku pada masa tertentu dan di antara sebabnya adalah tersebarnya kebodohan serta hilangnya ilmu.

BANYAKNYA pembunuhan dan peperangan antara perkara yang disebut oleh Rasulullah sebagai satu daripada tanda akhir zaman. FOTO AFPDalam riwayat lain, daripada Abdullah dan Abu Musa RA, mereka berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Apabila hampirnya berlaku kiamat, akan terjadi hari-hari berlakunya kejahilan, diangkat daripadanya ilmu dan berleluasanya al-Harj. Al-Harj adalah pembunuhan." Hadis Riwayat Al-Bukhari. Kitab al-Fitan, hadis no. 6538

Dalam hadis berikutnya, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga terzahirnya fitnah, banyaknya penipuan, pasar berdekatan, masa semakin singkat, banyaknya al-Harj. Telah berkata: Apa itu al-Harj? Baginda menjawab: Pembunuhan." Hadis Riwayat Al-Albani. Silsilati al-Shahih, hadis no. 2772

Gambaran pertama hadis ini merujuk kepada kejahilan yang jelas berlaku bermula pada penghujung pemerintahan kerajaan Uthmaniyah iaitu apabila hampir tiada yang mampu membaca dan menulis sehingga mencapai kemuncak kepada kejahilan manusia. Pada ketika itu hanya sedikit yang mendirikan solat dan hampir tiada yang boleh membaca al-Quran, sebelum umat Islam mula bangkit kembali serta ajaran Islam mula berkembang.

Gambaran pembunuhan pula merujuk kepada banyaknya pembunuhan sehingga seseorang itu akan membunuh seseorang yang lain tanpa mengetahui sebab dia membunuh dan bagi yang dibunuh juga tidak mengetahui kenapa dia dibunuh. Perkara ini merujuk kepada pembunuhan tanpa niat yang kukuh. Dalam situasi ini berkemungkinan pembunuh juga hanya berperanan sebagai tukang bunuh yang diupah dengan nilai tertentu. Situasi ini adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Demi zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, dunia ini tidak akan musnah sehingga manusia saling berbunuhan antara satu sama lain tanpa mengetahui apa penyebabnya. Demikian juga orang yang dibunuh, dia tidak mengetahui apa penyebab dia dibunuh." Maka mereka bertanya kepada baginda: "Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Baginda menjawab: "Itulah al-Hajr, yang membunuh dan yang dibunuh sama-sama di neraka." Hadis Riwayat Al-Albani. Silsilati al-Shahih, hadis no. 2772

Pembunuhan dijelaskan ini bukan bermaksud peperangan yang terjadi antara pembela kebenaran melawan pelaku kebatilan atau memerangi orang yang memberontak terhadap pemerintah yang sah. Pembunuhan yang berlaku itu adalah disebabkan urusan dunia sama ada membabitkan harta, takhta, wanita atau perkara lain yang tidak diketahui tujuannya.

Bagaimanapun, apabila diteliti, terdapat maksud tertentu yang menyebabkan berlaku sesuatu pembunuhan. Antaranya membabitkan kepentingan daripada pihak tertentu. Situasi ini dapat dilihat dengan sejarah pembunuhan yang berlaku di seluruh dunia dengan bermotifkan perebutan harta, politik, dendam yang akhirnya nyawa menjadi pertaruhan.

Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ibadah pada saat terjadinya al-Harj (pembunuhan) adalah seperti orang yang hijrah kepadaku." Hadis Riwayat Muslim al-Fitan, hadis no. 2948

Hadis ini menunjukkan nilai ibadah pada zaman yang banyaknya berlaku pembunuhan dengan menyamakan dengan nilai hijrah kepada Rasulullah SAW. An-Nawawi menjelaskan, maksud al-Harj adalah merujuk kepada fitnah dan urusan manusia di dunia. Oleh itu, keutamaan ibadah padanya adalah penting kerana pada zaman itu ramai manusia akan lupa kepada perkara akhirat dan sibuk kepada perkara yang membawa kepada fitnah.

Dalam al-Quran Allah SWT menyatakan dengan jelas larangan terhadap pembunuhan sesama manusia. Allah SWT berfirman maksudnya: "Janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Al An'am ayat 151

Pada ayat lain, Allah SWT berfirman maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman 'qisas' (balasan yang seimbang) dalam perkara orang yang mati dibunuh iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu dan suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Surah Al-Baqarah ayat 178

Dalam satu riwayat menjelaskan umat Islam adalah umat 'marhumah' iaitu umat yang diberi rahmat dan dikasihi. Mereka tidak akan diseksa dengan azab yang kekal di akhirat. Allah SWT hanya menyeksa mereka di dunia dengan pelbagai fitnah, gempa bumi dan pembunuhan.

Diriwayatkan daripada Shidqah bi Al-Muthanna: "Telah menceritakan kepada kami Rabbah bin al-Harith daripada Abu Burdah dia berkata: 'Ketika aku sedang berdiri di pasar pada masa pemerintahan Ziyad, tiba-tiba aku memukul sebelah tangan aku kerana berasa hairan, lalu salah seorang lelaki daripada kalangan Ansar yang bapanya mempunyai persahabatan dengan Rasulullah SAW bertanya, 'Apakah yang engkau hairankan wahai Abu Burdah? Aku menjawab, 'Aku hairan terhadap kaum yang agamanya satu, nabinya satu, dakwahnya satu, hujahnya satu, berperang kerana tujuan yang satu, tetapi mereka saling membunuh antara sebahagian yang lain.' Dia berkata: 'Janganlah engkau hairan kerana aku mendengar ayah aku memberitahu dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'Sesungguhnya umatku ini adalah umat yang dikasihi. Tidak ada hisab dan azab bagi mereka di akhirat, sesungguhnya azabnya berupa pembunuhan, gempa bumi dan pelbagai fitnah di dunia.'" Hadis Riwayat al-Hakim

Oleh itu marilah sama-sama kita memohon keselamatan kepada Allah SWT dan memohon perlindungan-Nya daripada pembunuhan dan semua fitnah sama ada yang jelas atau tersembunyi.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/11/640445/isyarat-besar-hampir-kiamat 

Cinta harta luntur iman

 FITNAH harta adalah satu fitnah yang akan melanda manusia akhir zaman sehingga membawa kepada kelalaian yang besar kepada Allah SWT. Manusia akan terus menerus mencari harta bagi memenuhi keperluan semasa sehingga membawa kepada kesan yang besar kepada keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman Maksudnya:  "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." (al-Anfal, ayat 28)

Dikatakan harta dan anak sebagai fitnah adalah merujuk kepada kedua-duanya penyebab kepada kelalaian manusia daripada menunaikan kewajipan agama dan juga penyebab kepada hilangnya usaha untuk meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Pada asalnya, harta tidaklah tercela, bahkan Allah SWT menyebut harta sebagai khair (kebaikan) dalam al-Quran.

Maksudnya: "Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa." (Al-Baqarah ayat 180)

Allah juga menyebutkan bahawa harta Allah jadikan sebagai qiyam atau sesuatu yang menopang kehidupan manusia. Allah berfirman maksudnya: "Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya (anak yatim yang belum baligh), harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan (qiyaman)." (An-Nisa, ayat 5)

Harta adalah tunjang kehidupan manusia yang dijadikan Allah SWT  untuk keperluan agama dan dunia yang akan membawa kepada situasi akhirat yang baik. Oleh itu, wali atau pemegang harta tidak boleh menyerahkan harta yang diamanahkan sebelum sempurna akal mereka. Ini merujuk kepada kewarasan dalam berfikir seseorang manusia sehingga mampu membezakan apa yang halal dan haram dalam kehidupan. Jika tidak harta tersebut akan merosak dan menghancurkan mereka.

Ibadah manusia akan terjejas disebabkan harta. Kesempurnaan ibadah juga berkait rapat dengan harta. Orang soleh menguruskan harta yang baik akan dipermudahkan banyak urusan daripadanya. Kehormatan mereka diangkat sama ada daripada padangan Allah SWT atau manusia. Hubungan dengan Allah akan bertambah baik, rezeki akan sentiasa bertambah tanpa disedari seterusnya memberi ketenangan dalam beribadah. Hubungan dengan manusia pula, ramai kenalan dan mudah disegani oleh masyarakat. Sikap pemurah dengan memberi hadiah, makanan dan lain-lain akan menghasilkan kekuatan dalam beribadah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Sebaik-baik harta adalah harta yang dimiliki oleh orang soleh." (Hadis Riwayat Bukhari)

Allah memberi peringatan kepada hamba-Nya bahawa harta adalah fitnah yang akan menyebabkan manusia lalai daripada mengingati-Nya. Disebabkan harta juga, manusia mudah melakukan maksiat dan kemungkaran kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, Allah SWT membataskan rezeki-Nya yang luas kepada sebahagian manusia.

Nabi SAW  bersabda, daripada Ka'ab bin Iyadh maksudnya: "Sesungguhnya tiap-tiap umat itu mempunyai fitnah dan fitnah umatku adalah harta." (Hadis Riwayat Al-Tirmizi hadis no: 2439)

Allah berfirman maksudnya:  "Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat." (Asy-Syura ayat 27)

Manusia yang diuji dengan harta yang melimpah-ruah akan bermewah-mewahan. Allah menjelaskan tentang situasi orang yang suka hidup bermewah akan menjadi penentang kepada utusan Allah SWT  sebagaimana kisah Qarun. Allah SWT berfirman:  "Dan Kami tidak mengutus kepada suatu negeri seorang pemberi peringatan pun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya." (Saba', ayat 34)

Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah dua serigala lapar yang menghampiri seekor kambing lebih berbahaya baginya daripada keghairahan seseorang kepada harta dan kedudukan bagi agamanya." (Hadis Riwayat Tirmidzi no. 2376, hasan shahih, Ahmad: 3/656)

Nabi SAW menggambarkan situasi kerosakan kepada agama disebabkan oleh manusia yang terlalu ghairah kepada harta dan kedudukan dunia. Kerosakan agama yang ditimbulkannya adalah lebih besar daripada bahaya yang mengancam seekor kambing yang didatangi dua serigala lapar dan siap menerkamnya.

Ibnu Rajab menjelaskan, orang yang ghairah dan berkeinginan terhadap harta terbahagi kepada dua: Pertama, orang yang sangat mencintai harta, semangat dalam mencarinya dengan cara yang dibenarkan, namun ia berlebihan dalam mendapatkan dan mengusahakannya. Namun disebabkan keghairahan mendapatkan harta, usahanya akan menyebabkan kehidupannya menjadi sia-sia padahal ia seharusnya bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kenikmatan akhirat yang abadi.

Rasulullah SAW bersabda kepada sahabatnya Hakim bin Hizam maksudnya:  "Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini indah dan manis. Barangsiapa mengambilnya dengan keluasan jiwanya, ia akan mendapat barakah pada hartanya. Dan barangsiapa yang mengambilnya tanpa berlebihan, maka perumpamaannya adalah seperti orang yang makan dan tidak pernah kenyang. Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan di bawah." (Hadis Riwayat Bukhari)

Kedua, orang yang berkeinginan terhadap harta, hingga mengusahakannya dengan cara yang diharamkan Allah dan menghalanginya untuk menunaikan kewajiban hartanya. Perutnya penuh dengan harta haram. Harta yang dimilikinya adalah hasil daripada seluruh usahanya, ia menjadi manusia yang sangat takut kehilangan hartanya. Ia sangat kikir, malas bersedekah dan individualistik. Ia terjerumus pada sikap kikir yang tercela. Padahal Allah SWT  berfirman maksudnya: "Dan sesiapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung." (Al-Hasyr ayat 9)

ALLAH memberi peringatan kepada hamba-Nya bahawa harta adalah fitnah yang akan menyebabkan manusia lalai daripada mengingati-Nya.

Daripada Jabir bin Abdillah, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:  "Peliharalah dirimu daripada sifat kikir kerana sifat kikir telah membinasakan orang-orang sebelum kamu. Sifat itu telah menyuruh mereka memutuskan persaudaraan, maka mereka pun memutuskan persaudaraan. Sifat itu telah menyebabkan mereka saling membunuh dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan." (Hadis Riwayat Muslim no: 6741) 

Justeru itu, berhati-hatilah dengan fitnah harta yang akan menguji manusia. Manusia akan mula menjadi seorang yang sentiasa tidak puas dengan harta yang ada sehingga menjadi kedekut dan tidak suka bersedekah. Kemudian perhubungan antara sesama manusia akan renggang dan putus. Sifat bakhil yang terpahat akan melahirkan kemarahan dan kebencian sesama sendiri. Maka manusia akan semakin jauh daripada landasan agama yang sebenar disebabkan harta.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/10/635101/cinta-harta-luntur-iman 

Apabila binatang berbicara

 Menghampiri kepada akhir zaman, banyak perkara pelik dan ajaib berlaku sehingga benda yang tidak hidup mampu untuk berbicara dengan manusia. Keadaan ini juga merujuk kepada binantang buas yang turut berkata-kata dengan manusia. Gambaran ini merujuk kepada hadis Baginda Nabi SAW: Daripada Abi Sa'id al-Khudriy RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya, tidak akan terjadinya kiamat sehingga binatang buas berbicara dengan manusia dan sehingga hujung tongkat serta tali kasut berbicara dengan manusia dan pahanya memberitahu apa yang dilakukan oleh keluarganya semasa ketiadaannya." (Hadis  Riwayat al-Tirmidzi, Hadis  no, 2181)

Hadis  ini menjelaskan terdapat perubahan dan perkembangan yang besar melibatkan ilmu pengetahuan yang belum pernah ditemui dan dibayangkan sebelum ini. 

Petanda ini berkemungkinan mempunyai perkaitan dengan kemajuan sains dan teknologi sehingga banyak perkara yang luar daripada ilmu pengetahuan manusia zaman dahulu timbul dengan begitu pesat pada hari ini.

Kemungkinan juga, keadaan ini berkait dengan suasana yang luar biasa yang berlaku pada akhir zaman tertutama ketika binatang liar dan buas berbicara dengan manusia.

Ada pandangan menyatakan bahawa situasi ini tidak tepat dan releven kerana binatang tidak mempunyai peti suara yang mempu untuk bertutur dengan manusia. Tetapi, apabila merujuk kepada hadis yang dinilai sahih ini, sudah tentu tiada penentangan terhadap isi kandungan tersebut walaupun gambaran yang dijelaskan melaluinya adalah diluar daripada adat kebiasaan manusia.

Allah SWT berfirman:  "Pada waktu itu, Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan." (surah Yasiin ayat 65)

Pada ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud:  "Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit-kulit badan mereka menjawab: 'Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepada-Nya kamu dikembalikan (untuk menerima balasan)." (surah Fussilat, ayat 21)

TIDAK akan terjadi kiamat sehingga binatang buas berbicara dengan manusia.

Berdasarkan ayat ini, secara logiknya tangan, kaki, kulit tidak mempunyai peti suara untuk berbicara dan berkata-kata. Situasi ini juga berlaku kepada peralatan seperti radio, televisyen, komputer dan lain-lain yang juga tidak boleh berbicara secara logiknya. Namun, semua perkara itu di bawah kekuasaan Allah SWT.

Pada hari ini, benda yang tidak hidup seperti telefon, televisyen, radio, jam, kereta dan lain-lain semuanya mampu berbicara dan mengeluarkan suara yang berbeza. Walaupun perkara ini secara asasnya dikatakan perkembangan teknologi yang hebat pada zaman ini, namun tidak pada zaman sebelum ini.

Jika mereka yang hidup pada zaman tanpa teknologi, hadir pada hari ini, mungkin semua daripada mereka akan terkejut dan pengsan dengan situasi dan keadaan yang berlaku pada hari ini. Mungkin binatang mengeluarkan suara adalah perkara yang boleh diterima kerana ia makhluk hidup yang mempunyai peti suara.

Dalam satu hadis, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Seorang penggembala kambing melihat secara tiba-tiba serigala datang melarikan kambingnya. Melihat keadaan itu, penggembala terus mencari kambingnya yang hilang. Maka, serigala itu menoleh dan berkata: 'Di hari yang penuh dengan kebuasan ini, siapa lagi yang menjadi penggembala selain aku? Kemudian ada seekor lembu yang memuatkan barang-barang dan dipaksa untuk memikul barang-barang itu, maka lembu itu berpaling dan berkata: 'Bukan tujuan pekerjaan ini aku diciptakan, tetapi aku diciptakan untuk membajak ladang'...mendengar perbualan tersebut, sahabat berkata, 'Subhanallah.' Nabi SAW bersabda: 'Ketahuilah, aku mempercayai kisah ini. Demikian juga Abu Bakar dan Umar turut mempercayainya.'" (Hadis  Riwayat al-Bukahri, Hadis  no, 3663)

Dalam hadis  ini, terdapat satu kisah yang luar biasa namun di sahkan oleh Baginda Nabi SAW. Keadaan serigala dan lembu berbicara adalah sesuatu yang sangat ajaib dan di luar daripada kebiasaan manusia.

Kewujudan binatang yang boleh berbicara dengan manusia mungkin menjadi sesuatu yang di luar daripada kebiasaan, namun ada pada ketika ini, binatang yang mampu memahami arahan dan juga bertutur dengan bahasa manusia seperti burung kakak tua.

Binatang secara umumnya tidak boleh bercakap kerana tidak mampu untuk memproses maklumat. Mereka hanya mendengar, tetapi tidak memahami maksud atau makna perkataan tersebut. Mereka hanya mengeluarkan bunyi tertentu sebagai isyarat.

Bagaimanapun, burung kakak tua sebenarnya tidak boleh bercakap, tetapi ia boleh menyebut perkataan yang sering didengari. Ia menyebut tanpa memahami makna. 

Dalam hal ini, sirah rasul menjelaskan Nabi Sulaiman AS boleh bertutur dan memahami bahasa binatang. Mukjizat ini bukan cerita dongeng, tetapi kisah benar daripada al-Quran.

Allah SWT berfirman: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari." (An-Naml ayat 18)

Nabi Sulaiman yang mampu mendengar kata-kata semut itu tersenyum mendengar perbualan mereka. Menyedari besarnya kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya kerana memahami bahasa binatang, Nabi Sulaiman lantas berdoa dan berkata:  "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh." (An-Naml ayat 19)

Begitu juga dengan perbualan yang terjadi antara Nabi Sulaiman dan pasukan burung.

Maksudnya: "Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia daripada mereka yang tidak hadir?" (An-Naml ayat 20)

Perbualan ini terdengar sangat istimewa kerana ia bukan penceritaan daripada pihak ketiga, tetapi catatan perbualan yang disimpan sendiri oleh Allah dan diberitahu semula kepada Nabi Muhammad SAW melalui ayat al-Quran.

Pada saat itu, hanya Nabi Sulaiman manusia yang mampu memahami bahasa binatang. Tetapi pada akhir zaman, sebagai tanda hampirnya kiamat, binatang akan mampu berbicara dengan manusia sehingga manusia memahami apa yang dibicarakan.

Oleh itu, kekuasaan Allah yang menjadikan jenis haiwan yang bijak dan mampu membaca gerak manusia. Ada yang menjadi peliharaan manusia dan sangat rapat dengan manusia sehingga meratapi kesedihan apabila tuannya meninggal.  Ada juga haiwan liar yang mudah menghidu kehadiran manusia dan kewujudan manusia. Maka begitu hebatnya penciptaan haiwan adalah sebagai pedoman buat manusia dan seterusnya mendekatkan diri kepada Allah SWT.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/10/633386/apabila-binatang-berbicara 

Orang alim 'dijemput' Ilahi

Kematian orang alim dan dominasi mereka yang jahil dan jahat menggambarkan keadaan manusia berada pada penghujung zaman sehingga mereka berbuat kebaikan dihina serta dicaci manakala kejahatan dipelihara.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Demi zat yang jiwa Muhammad ini berada di genggaman-Nya, hari kiamat tidak akan datang sehingga muncul kejahatan dan kebakhilan, orang yang jujur didustakan, orang yang khianat dipercayai. Binasalah al-Wa'ul dan munculnya at-Tahut? Maka sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: "Siapakah al-Wa'ul dan at-Tahut itu ya Rasulullah? Jawab baginda: 'al-Wa'ul adalah orang terhormat dalam kalangan manusia, sedangkan at-Tahut adalah orang yang hidup di bawah tekanan tanpa mengetahui siapa yang menekannya.'" (Hadis Riwayat al-Hakim, al-Fitan Hadis no, 8664)

FOTO HIASAN 

Hadis di atas menjelaskan mengenai keadaan manusia akhir zaman iaitu kejahatan dan kebakhilan muncul dengan begitu pesat sehingga perkara itu menjadi kebiasaan dalam masyarakat. Semua perkara yang dilakukan diangkat masyarakat sehingga perbuatan yang diharamkan dihalalkan.

Manakala manusia yang jujur serta mereka yang sentiasa melakukan kebaikan dicaci dan diabaikan. Kelakuan dan percakapan mereka tidak diendahkan oleh masyarakat bahkan terus dipulau dan dianggap orang asing. Mereka adalah daripada golongan ilmuwan, asatizah yang mempunyai semangat tinggi dalam memperteguhkan keimanan dan mengajak ke arah kebaikan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Di antara tanda-tanda hari kiamat antara lain: kebakhilan dan perbuatan tercela terserlah, orang yang khianat dipercayai, orang yang amanah dikhianati, merebaknya pakaian yang dipakai oleh wanita, tetapi telanjang, at-Tahut yang menjadi atasan al-Wa'ul." Maka kami bertanya, apakah at-Tahut wahai Rasulullah? Baginda bersabda: 'Mereka adalah orang yang mempunyai mental (moral) yang rendah kemudian dipilih oleh orang-orang bodoh untuk diangkat menjadi pemimpin untuk kepentingan mereka, sementara al-Wa'ul adalah orang-orang yang soleh.'" (Hadis Riwayat al-Hakim, al-Fitan Hadis no, 8664)

Gambaran hadis di atas menjelaskan lagi situasi manusia yang ramai berada pada kejahilan dan kebakhilan. Kejahilan ini juga merujuk kepada mereka yang kurang ilmu agama, tetapi berkata-kata umpama orang alim yang luas keilmuannya. Sehingga golongan ini mampu menolak pandangan yang dipersetujui oleh orang alim dengan pemahaman akal mereka. Paling ketara apabila mereka secara langsung menggelarkan seseorang orang alim itu dengan perkataan 'sesat'.

Berkuasanya mereka yang jahil dan jahat ini merujuk kepada penyingkiran orang baik daripada sistem kekuasaan. Dalam sistem kekuasaan yang didominasi oleh mereka yang jahat, orang-orang yang baik akan menjadi mangsa dan korban bagi menjayakan agenda yang dirancang. Sekiranya perkara tersebut berlaku secara nyata, kedudukan orang-orang baik ini amat mudah untuk dipastikan. Namun sekiranya, agenda jahat yang dikenakan kepada orang-orang baik ini melalui jalan belakang (penguasaan mental), masyarakat akan melihat golongan yang baik adalah jahat dan mereka yang jahat adalah baik dan disokong segala usaha mereka.

Orang alim yang terdiri daripada cendekiawan ialah pemimpin agama yang mencapai kedudukan tinggi disebabkan ijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, sebagai mana firman Allah SWT: "Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami." (Surah al-Sajdah: 24)

Kelebihan orang alim adalah memberi petunjuk keimanan kepada masyarakat supaya masyarakat menjadi celik dan cerdik daripada sebarang kejahilan. Ini kerana kejahilan akan membawa bala kepada mereka yang jahil tanpa pegangan agama yang kukuh. Keperluan mempelajari adab menuntut ilmu daripada orang alim akan memberi kesan daripada yang lain. Penuntut ilmu hendaklah berakhlak dengan akhlak mulia dan menghindarkan sifat mazmumah.

Kematian orang alim dianggap sebagai musibah besar kerana orang alim adalah pewaris nabi dan pelita bagi umat. Untuk melahirkan orang alim yang berwibawa dan mursyid ummah, memerlukan tempoh yang panjang dan tapisan yang tebal.

Antara tanda akhir zaman ilmu berkaitan agama dan kefahaman Islam akan berkurangan dengan kematian orang alim, sebaliknya ilmu berkaitan teknologi dan perkembangan semasa semakin canggih dan begitu terkehadapan. Hal ini tidak pelik dengan banyak penemuan ciptaan terbaharu dan terkini.

Imam al-Syafie berkata: "Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ia menjadi amalan Nabi, Rasul dan orang soleh."

Pujangga berkata: "Ilmu pengetahuan mempunyai dua keuntungan. Pertama, kita mengetahui masalah pokok dan kedua kita mengetahui di mana kita dapat menemui maklumat berkaitan hal itu."

Sulaiman Rahimahullah yang berkata maksudnya: "Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana masih kekal generasi pertama sehingga yang kemudian dapat mempelajarinya. Jika binasa generasi yang pertama sebelum dipelajari oleh generasi seterusnya, maka binasalah manusia."

Ketika ditanya kepada Sa'id Bin Jubair Rahimahullah: "Apakah alamat binasanya manusia? Jawabnya: "Apabila orang alim mereka meninggal dunia."

Kematian orang alim adalah musibah besar kepada ummah. Manusia mampu menggantikan jawatan, tetapi tidak mampu menggantikan ilmu, sikap dan nilai yang dimiliki oleh seseorang. Bacalah sejarah kita akan dapati orang alim yang berpengaruh yang begitu terkesan pada jiwa orang kampungnya atau negerinya sudah pasti tidak dapat dicari ganti selepas kematiannya.

Firman Allah SWT maksudnya: "Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya?" (Surah al-Ra'd: 41)

Atha' dan ramai orang alim menafsirkan bumi kurang sedikit demi sedikit memberi maksud kematian orang alim dan hilangnya para fuqaha.

Firman Allah SWT maksudnya: "Demi bintang semasa ia menjunam."(Surah al-Najm: 1)

Bintang yang dinyatakan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada orang alim. Imam al-Nasafi berkata: "Allah bersumpah dengan orang alim apabila ia meninggal dunia."

Kematian orang alim akan menyebabkan kedudukan manusia akan kembali kepada kegelapan. Kejahilan semakin meluas sehingga tiada lagi peringatan akan diberikan kecuali daripada mereka yang jahil, jahat dan bodoh.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/10/630457/orang-alim-dijemput-ilahi 

Manusia akhir zaman tak peduli halal haram

 Akan tiba satu zaman, manusia tidak mempedulikan hal ehwal halal dan haram sama ada dalam bentuk makanan atau minuman, harta yang diperoleh, kelakuan dan percakapan.

Perkara ini berdasarkan sabda Baginda Nabi SAW, daripada Abu Hurairah RA maksudnya: "Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh, apakah dari jalan yang halal atau haram? (Hadis Riwayat al-Bukhari, Hadis no: 2083)

Hadis  di atas mengisyaratkan akan wujud pergeseran nilai-nilai yang dipegang teguh oleh generasi awal umat Islam yang akan berusaha mencari perkara halal dan sedaya upaya menjauhi perkara yang haram. 

Situasi ini merujuk kepada keadaan manusia akhir zaman yang lebih mementingkan sumber kewangan, kekayaan semata-mata tanpa melihat pertimbangan yang sebaik mungkin berdasarkan agama dan moral. Terdapat jenis pekerjaan dan sumber pendapatan yang haram melibatkan ramai umat Islam yang terlibat seperti:

Pertama: Arak

Allah SWT  berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Al-Maidah, ayat 90)

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram." (Hadis Riwayat Ahmad, hadis  no: 17995)

Justeru bagi seorang Mukmin hendaklah dia bertakwa kepada Allah SWT dengan menghindari diri daripada terlibat dengan apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini dikuatkan dengan hadis Anas bin Malik RA maksudnya: "Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan iaitu pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya." (Hadis Riwayat  Imam al-Tirmidzi, hadis  no: 1295)

Kedua: Riba

Daripada al-Sha'bi RA  berkata maksudnya: "Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, saksinya dan penulisnya." (Hadis Riwayat  al-Nasa'i, Hadis no: 5105) 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (daripada mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." (Al- Baqarah, ayat 278-279)

Ketiga: Rasuah

Pengharaman rasuah jelas sama ada dalam al-Quran dan al-Sunnah. Larangan rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT  berfirman maksudnya: "Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)." (Al-Maidah, ayat 42)

Firman Allah SWT maksudnya: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Al-Baqarah, ayat 188)

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah." (Hadis Riwayat Ahmad, hadis 
no: 6984) 

Keempat: Menggadai maruah

Salah satu pekerjaan yang diharamkan adalah bekerja di tempat-tempat yang boleh menggadaikan maruah diri sebagai seorang Muslim.

Pekerjaan tersebuat seperti pelacur, teman sosial (di kelab malam), penari, penyanyi dan pemain alat muzik di kelab malam (terdapat hidangan arak dan pergaulan bebas lelaki perempuan), bonser (pengawal keselamatan untuk tempat maksiat), tukang urut untuk berlainan jenis (lelaki mengurut wanita atau wanita mengurut lelaki), menjadi model pakaian atau iklan yang mendedahkan aurat dan menjadi tontonan orang ramai dan mendapat habuan (wang ringgit atau projek) kerana merancang konspirasi bertujuan mengaibkan seseorang Muslim dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV), membuat video atau mengambil gambar dan sebagainya.

Kelima: Perkara yang haram dihalalkan dan yang haram dihalalkan

Sebagaimana yang diketahui umum, binatang yang diharamkan secara tetap dari sudut daging, kulit, darah dan semua berkaitan denganya adalah babi. Allah SWT berfirman maksudnya: "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi." (Al-Baqarah, ayat 173)

Memakan makanan yang halal lagi baik adalah satu tuntutan di dalam Islam. firman Allah SWT maksudnya: "Dan makanlah daripada rezeki yang sudah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik." (Al-Maidah, ayat 88)

Pada ayat lain, Allah SWT berfirman maksudnya:  "Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk." (Al-A'raf, ayat 157) 

FOTO HIASAN

Oleh itu, tiada keringanan untuk menggunakan semua yang berkaitan babi walaupun ada kelebihan seperti dinyatakan oleh pihak barat.

Selain daripada itu, bersetubuh dengan isteri ketika haid adalah haram berdasarkan firman Allah SWT maksudnya: "Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri." (Al-Baqarah, ayat 222)

Maka, suami hendaklah menahan diri ketika fatrah atau tempoh yang dilarang daripada melakukan persetubuhan.

Justeru itu, umat Islam perlu memastikan setiap perkara yang dilakukan setiap hari perlu berlandaskan kepada syariat Islam dan memastikan hanya perkara yang halal sahaja dilaksanakan dan menjauhi segala yang diharamkan.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/10/628840/manusia-akhir-zaman-tak-peduli-halal-haram 

Gurun gersang mula menghijau

Padang pasir dan gurun terkenal dengan kering, tandus dan tempat yang paling susah untuk memperoleh air dan tumbuhan-tumbuhan hidup menghijau. Di dunia, terdapat empat jenis gurun iaitu gurun kutub, gurun sub tropis, gurun musim dingin dan gurun pesisir. Daripada keseluruhan daratan bumi, 1/3 daripadanya terdiri daripada gurun kering dan tandus. Daripada jumlah tersebut, Gurun Arab adalah gurun terluas di benua Asia dan keempat terbesar di dunia dengan keluasan 2.33 juta kilometer persegi yang merentasi Yaman, Teluk Parsi, Oman, Jordan dan Iraq. Manakala gurun Sahara pula dengan keluasan 9.2 juta km2 meliputi Algeria, Chad, Mesir, Libya, Mali, Mauritania, Maghribi, Niger, Sudan dan Tunisia yang berlandskap batu dan tandus. 

Daripada fakta tersebut, kedudukan tanah yang gersang ini khususnya negara Arab akan berubah menjadi lembah subur dan hijau dengan tumbuhan. Semenanjung Tanah Arab secara geografinya terdiri daripada 70% kawasan gurun dan gersang, namun Nabi SAW bersabda bahawa salah satu daripada tanda kiamat adalah Semenanjung Arab akan menjadi padang rumput dan sungai yang mengalir. Nabi SAW bersabda bermaksud: "Tiada berlakunya kiamat sehingga harta melimpah-ruah, sehingga seseorang keluar dengan membawa zakat hartanya namun tidak menjumpai orang yang layak menerimanya. Tidak berlakunya kiamat sehingga Tanah Arab Kembali hijau dipenuhi sungai." (Hadis  Riwayat Muslim,  no. 157)

 KAWASAN gurun yang kering dan gersang bertukar menghijau dan sungai yang mengalir adalah panduan tentang situasi akhir zaman yang kian hampir.

Pada satu ketika dahulu, Semenanjung Tanah Arab adalah tanah yang dipenuhi dengan kebun-kebun, hutan dan sungai. Perkara ini adalah bersandarkan bukti saintifik daripada penemuan kuantiti petroleum dan gas yang sangat banyak. Ini adalah kerana proses bagi petroleum dan gas terbentuk adalah berdasarkan bahan mendapan daripada tumbuhan dan haiwan di bawah permukaan bumi dalam lingkungan ratusan tahun. Oleh itu, selepas fenomena perubahan ke atas daratan dunia, maka situasi Semenanjung Arab adalah seperti yang dilihat pada sebelum ini dengan keadaan gurun yang gersang dan kering.

Imam Nawawi RA berkata mengenai pengertian kembalinya negeri Arab sebagai padang rumput dan sungai adalah seperti berikut:  "Maknanya - Wallahu a'lam - bahawa mereka (penduduknya) akan meninggalkan dan menjauhinya sehingga menjadi tidak terurus, tidak ditanam dan tidak disiram dengan airnya. Perkara ini terjadi kerana kurangnya kaum lelaki, banyaknya peperangan, bertompok-tompok fitnah, dekatnya hari kiamat, nipisnya pengharapan dan tidak adanya perhatian untuk mengelolanya."

Walau bagaimanapun, Yusuf bin Abdullah Yusuf al-Wabil dalam kitab Asrat al-Sa'ah menyatakan pandangan yang dinyatakan oleh Imam Nawawi tersebut adalah kurang tepat kerana kondisi dan situasi Semenanjung Arab adalah negeri yang tandus, berpasir dan kurang tumbuh-tumbuhan. Pada umumnya, air akan diperoleh melalui perigi atau telaga dan tadahan air hujan. Apabila penduduknya meninggalkan kawasan tersebut, maka tanaman akan mati dan tidak akan kembali menjadi padang rumput  dan sungai.

Namun, pada hari ini, lembah gersang dan kering kontang mula menghijau dan ditumbuhi dengan tumbuh-tumbuhan yang subur serta aliran sungai yang menjadikan kehidupan di kawasan tersebut bertukar menjadi segar dan damai. Oleh itu, zahir daripada hadis tersebut bahawa di negara-negara Arab ini akan banyak air sehingga munculnya banyak sungai  yang menumbuhkan tumbuhan-tumbuhan sehingga menjadi padang rumput, kebun dan hutan.

Situasi ini adalah kemukjizatan yang hebat mengenai perkhabaran masa lampau yang tidak pernah diketahui oleh orang Arab sebelum ini. Kedudukan tanah Arab akan mula bertukar daripada kering kepada menghijau dengan tumbuhan dan sungai yang mengalir di samping penemuan kuantiti simpanan air yang cukup banyak yang dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan kawasan pertanian yang luas. 

Gambaran yang boleh dilihat ketika ini bagaimana padang Arafah yang satu ketika dahulu dalam keadaan tandus bertukar sedikit demi sedikit dengan pepohon kayu mula tumbuh dan menghijau sehingga ada di kawasan lembah yang mula mengalir sungai.

Dalam hadis, Nabi SAW bersabda bahawa daerah Tabuk secara khususnya akan bertukar menjadi tempat yang subur dengan tanaman.  Maksudnya hadis: "Kami telah keluar bersama Rasulullah SAW pada tahun peperangan Tabuk… Kemudian Baginda bersabda: 'Sesungguhnya esok kamu akan singgah di mata air Tabuk, Insya-Allah. Kamu juga akan sampai ke situ pada waktu duha. Maka sesiapa dalam kalangan kamu yang telah sampai di situ, jangan sesekali  menyentuh airnya sehingga aku sampai. "Lalu kami pun sampai di mata air tersebut…" Muaz berkata lagi: "Kemudian, mereka mencedok air dari air mata itu menggunakan tangan sedikit demi sedikit sehingga terhimpun dalam satu bekas." Beliau berkata: "Rasulullah SAW membasuh kedua-dua tangan dan muka Baginda dengannya, lalu air tadi dicurahkan kembali ke dalam mata air tersebut. Lantas, mata air tersebut mengalir deras, (atau katanya melimpah. Abu Ali syak pada perkataan manakah yang diucapkan) sehingga semua orang di situ dapat minum. Kemudian Baginda bersabda: "Wahai Muaz, jika panjang umurmu, lambat laun kamu pasti melihat kawasan ini dipenuhi tanaman." (Hadis  Riwayat Muslim,  no 706)

Pada saat ini kawasan Tabuk mula menghijau dengan sungai jernih mengalir di lembah antara gunung.  Di kawasan tersebut juga dilihat menurunkan salji selain daripada negara-negara Arab lain seperti Turki, Syria, Baitulmaqdis, Arab Saudi, Palestin, Lubnan, Mesir, Jordan dan sekitarnya yang mula terjadi sejak dari 2013 dan berlanjutan sehingga ke hari ini.

Beberapa saintis menjelaskan iklim yang lebih sejuk sedang bergerak dan menuju ke Semenanjung Arab yang membawa bersama salji dan hujan. Situasi ini secara langsung membawa rahmat yang besar dalam kehidupan khususnya tumbuh-tumbuhan.

Jika dilihat kepada kajian saintifik, salji adalah antara komponen utama dalam pembentukan tanah yang menjadi kondisi tanah tersebut lembab dan berair. Dengan keadaan yang berlajutan ini, maka tanah yang dahulunya gersang dan kering bertukar menjadi  subur. Ini tidak termasuk hujan yang sering kali turun terutama di kawasan Riyadh dan sekitarnya.

Perkara ini adalah kekuasaan Allah SWT yang dapat menukar sesuatu kawasan daripada kawasan gurun yang kering dan gersang kepada kehidupan yang menghijau dan sungai yang mengalir dalam masa yang sama sebagai panduan dan pedoman kepada manusia tentang situasi akhir zaman yang semakin hampir berlaku. 

Oleh itu, ziarah dan kunjungan ke tanah Arab tidak hanya terhenti kepada penelitian kepada kesan sejarah semata-mata, bahkan melihat kepada tanda kiamat yang dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW buat umat akhir zaman.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/09/625010/gurun-gersang-mula-menghijau 

 

Tanda kiamat: Berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit

SALAH satu tanda yang semakin jelas kelihatan pada zaman ini adalah munculnya bangunan pencakar langit (skyscaper) di seluruh dunia. Isyarat ini dinyatakan oleh Baginda Nabi SAW dalam beberapa hadis yang berkaitan dengan tanda kiamat. Nabi SAW bersabda maksudnya:  "Tidak akan berlakunya kiamat sehingga manusia berlumba-lumba meninggikan bangunan." (Hadis Riwayat al-Bukhari Al-Fitan, hadis  no.7121)

Keadaan seperti ini muncul tidak lama selepas kewafatan Baginda Nabi SAW apabila masyarakat Islam pada ketika itu mula bermegah-megah dengan mendirikan bagunan dan memperindahkan rumah mereka. Perkara ini berlaku apabila umat Islam dilimpahkan dengan harta yang banyak sehingga dapat menakluki negara luar dan mengembangkan kekuasaannya.

Situasi ini menjadi lebih parah apabila ramai antara mereka mula dijangkiti dengan penyakit umat sebelum ini iaitu berlumba-lumba mengumpulkan harta dan menggunakannya untuk perkara di luar dari pandangan syarak.

Penduduk luar bandar yang pada ketika itu dalam keadaan fakir dan miskin turut dihamparkan dengan kekayaan dunia sehingga mereka berlumba-lumba membina bangunan bertingkat dalam pelbagai bentuk yang berbeza. 

Perkara ini berlaku sebagai mana kata Baginda Nabi SAW kepada Malaikat Jibril ketika Jibril bertanya kepada Baginda mengenai waktu berlakunya kiamat. Maka sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud:  "Dan kamu akan melihat pengembala kambing yang bertelanjang kaki dan dada lagi miskin berlumba-lumba meninggikan bangunan." (Hadis Riwayat Muslim Al-Iman, hadis  no.8)

Dalam Riwayat lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dan jika kamu melihat pengembala ternak yang berlumba-lumba meninggikan bangunan maka itulah di antara tanda hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim Al-Iman, hadis  no.9)


Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan maksud berlumba-lumba dalam meninggikan bangunan ialah apabila seorang mendirikan bangunan, maka akan ada mereka yang lain ingin membina bangunan yang lebih tinggi dari yang sebelumnya. Perkara ini akan berterusan sehingga saat terhenti apabila kiamat tiba. 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya daripada tanda-tanda kiamat iaitu kamu akan melihat pengembala kambing menjadi pemimpin dan kamu akan melihat pengembala ternak yang telanjang kaki dan dada serta kelaparan akan berlumba-lumba dalam kemewahan bangunan dan orang gaji akan melahirkan tuannya." (Hadis Riwayat Syuib Ar-Nauut Al-Iman- Sunan Dar al-Qutniy 3639)

Semua hadis di atas menjelaskan satu bentuk perubahan kepada kondisi manusia yang dikenali dengan keadaan miskin, lemah dan tidak berkemampuan kemudian berubah menjadi hebat, kuat dan kaya dalam tempoh yang singkat.

Isyarat ini dapat disaksikan secara langsung dalam beberapa dekat ini dengan kawasan tanah Arab yang sinonim dengan padang pasir dan sumber minyak menjadi tempat terkenal dengan pembangunan dan kemodenan yang melangkaui negara membangun yang lain.

Bangunan moden yang mencapai ketinggian luar biasa dilihat dibina dan sedang dibina dalam tempoh 10 tahun terkini.

Berdasarkan takrifan, bangunan pencakar langit ini ialah sebuah bangunan yang mempunyai struktur meninggi yang mencapai ketinggian minimum 224 meter. Ketinggian minimum ini meletakkan banyak bangunan dunia menjadi salah sebuah bangunan pencakar langit yang terkenal. Pembinaan bangunan pencakar langit ini semakin mendapat perhatian negara seluruh dunia dengan perancangan dan pembinaan yang secara tidak langsung melonjak nama sesebuah negara tersebut.

Hari ini, negara Timur Tengah menjadi antara negara yang paling banyak membina bangunan pencakar langit selepas China dan Hong Kong. Dalam tempoh 10 tahun terkini sahaja bangunan hebat dibina di Dubai, Arab Saudi dan Kuwait. Burj Khalifa di Dubai masih memegang rekod bangunan tertinggi di dunia dengan ketinggian mencecah 828 meter dan 163 tingkat. Shanghai Tower dengan 632 meter diikuti dengan Makkah Royal Clock Tower 601 meter. 

Kedudukan bangunan ini dilihat tidak kekal lama apabila beberapa bangunan pencakar langit sedang dibina di serata dunia. Berdasarkan portal web skyscrapercenter.com, Jeddah Tower di Arab Saudi akan mengambil alih status bangunan tertinggi dunia dengan ketinggian 1,000 meter. Manakala, bangunan Merdeka PNB118 di Kuala Lumpur pula bakal menjadi antara bangunan tertinggi dunia yang baru dengan ketinggian 644 meter. 

Perlumbaan membina bangunan ini dilihat akan terus berlangsung apabila 100 rancangan pembinaan bangunan pencakar langit dimuat naik dalam portal terbabit. Perkara ini menunjukkan gambaran yang akan berlaku pada akhir zaman semakin jelas kelihatan. Penguasa akan berusaha menjadikan sesuatu kawasan itu terkenal melalui kemegahan bangunan yang dibina.

Dalam riwayat Imam Ahmad daripada Ibnu Abbas, dia bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah pengembala kambing dan berkaki telanjang, lapar dan miskin itu? Baginda menjawab, 'Orang-orang Arab.'" (Hadis Riwayat Ahmad Hadis no. 2926)

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan negara Arab akan terus mendominasi bangunan pencakar langit ini sehingga menjadikan kehidupan masyarakat mereka berbeza dari tahun ke tahun. Apabila bangunan hebat ini berdiri megah, maka kehidupan manusia akan sedikit sebanyak berubah ke arah keduniaan dan meminggirkan kehidupan akhirat. 

Kebanyakan bangunan pencakar langit ini dibina atas kapasiti sebagai pusat perniagaan dan perdagangan di samping hotel mewah yang tersergam indah. Dengan kapasiti terbabit, maka masyarakat dunia akan menjadikan tempat terbabit sebagai tumpuan bagi pelbagaian aktiviti yang memungkinkan akan ada unsur yang berjalan luar dari syariat Islam. 

Bagaimanapun, dengan terbinanya bangunan pencakar langit ini, maka terbitnya pemahaman yang lebih jelas mengenai kadar waktu solat dan waktu berbuka puasa pada aras dan tingkat berbeza. Perkara ini seterusnya membuka mata masyarakat mengenai kepentingan ilmu falak dan penentuan garis masa yang tepat mengenai waktu solat.

Oleh itu, pembinaan bangunan pencakar langit ini adalah satu situasi yang ditentukan Allah SWT sebagai petunjuk dan pedoman kepada manusia mengenai keadaan dunia yang semakin hampir kepada penghujungnya.

Bagaimanapun, kemunculan bangunan pencakar langit sebagai tanda kiamat ini tidak boleh disandarkan terus dengan bangunan sedia ada. Ini kerana tempoh pembinaan dan perancangan masih berlaku dan tiada garis masa akhir yang menentukan kecuali kiamat berlaku melalui tanda-tanda lain yang dikhabarkan Baginda Nabi SAW.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/09/623031/tanda-kiamat-berlumba-lumba-membina-bangunan-pencakar-langit 

 

Tanda akhir zaman, banyak gempa bumi

Antara tanda yang banyak dibahaskan ulama dan pengkaji hari kiamat adalah bencana gempa bumi yang semakin kerap berlaku di serata dunia. Perbahasan gempa bumi ini melibatkan beberapa pandangan utama antaranya mengatakan gempa bumi yang berlaku adalah bentuk fenomena alam biasa dan bukan merujuk kepada gempa yang terjadi pada hari kiamat. Rasulullah SAW  bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Ash'ari RA:  "Umatku merupakan bangsa yang sentiasa dirahmati; ia tidak akan dihukum semasa di akhirat kerana Allah telah menurunkan hukuman semasa di dunia ini dalam bentuk pembunuhan, gempa bumi dan huru-hara." (Hadis  Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Dalam al-Quran Allah SWT mengisyaratkan akan berlakunya gempa bumi besar pada akhir zaman menerusi firman-Nya yang bermaksud:  "Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar." (Surah al-Hajj 22: 1)

Beberapa firman Allah SWT menyatakan bermaksud:

1. "Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya." (Surah al-Zalzalah, 99:1)

2. "Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing." (Surah al-A'raf, 7:78)

3.  "(Azab itu tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur) dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah." (Surah al-Muzammil, 73:14)

4.  "(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan." (Surah al-Waqiah 56:4)

FOTO HIASAN

Berdasarkan Firman Allah SWT, gempa bumi yang digambarkan dalam al-Quran adalah situasi gempa bumi besar akhir zaman yang lebih dahsyat dengan apa yang berlaku pada hari ini. Gempa bumi tersebut adalah satu bentuk goncangan yang akan memusnahkan keseluruhan dunia serta menghancurkan setiap apa yang ada di muka bumi Allah SWT. Oleh itu, gempa bumi yang berlaku pada hari ini tidak boleh disamakan dengan gempa akhir zaman yang diberitakan menerusi al-Quran.

Merujuk kepada situasi terkini, hampir setiap bulan terdapat gempa bumi yang berlaku di seluruh dunia. Gempa yang berlaku dalam kadar magnitud yang berbeza-beza ini adalah antara salah satu daripada banyak gempa bumi yang diberitakan sebagai tanda akhir zaman. Namun setiap gempa bumi yang berlaku tidak boleh disandarkan terus kepada hadis Nabi SAW yang menjelaskan tentang gempa bumi akhir zaman sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran. 

Perkara ini bertitik tolak kepada situasi gempa bumi seluruh dunia yang sudah lama berlaku yang memberi kesan kepada perubahan muka bumi pada hari ini.  Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:  "Tidak akan datang kiamat sehingga banyak terjadi gempa bumi." (Hadis Riwayat  al-Bukhari)

Keadaan gempa bumi yang berlaku di pergunungan, daratan dan lautan memberi kesan yang besar kepada permukaan bumi sehingga menyebabkan ramai yang terkorban akibat bencana tersebut. Situasi ini turut melibatkan ancaman ombak besar tsunami seperti yang berlaku di Indonesia, Jepun dan negara persisiran pantai yang berlaku sebelum ini.

Dalam hadis lain, diriwayatkan daripada Salamah bin Nufail As-Sukuni, dia berkata: "Kami sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah SAW, lalu baginda menyebutkan suatu hadith yang bermaksud:  'Sebelum terjadinya hari kiamat akan terdapat kematian-kematian yang mengerikan dan sesudahnya akan terjadi tahun-tahun gempa bumi.'" (Hadis Riwayat Ahmad)

Ibnu Hajar menjelaskan banyak terjadi gempa bumi di negara bahagian utara, timur dan barat. Namun berdasarkan hadis di atas, gempa bumi tersebut akan berlaku secara terus menerus di seluruh dunia. Perkara ini diperkuatkan dengan Riwayat daripada Abdullah bin Hawalah RA yang berkata bahawa Rasulullah SAW pernah meletakkan tangan Baginda di atas kepalanya dan bersabda:  "Wahai Ibn Hawalah, jika engkau menyaksikan kekhilafan ditegakkan di bumi Baitulmaqdis, maka sesungguhnya saat itu akan banyak terjadi gempa bumi, kesusahan, bencana dan peristiwa besar. Pada saat itu hari kiamat amat dekat dengan manusia, seumpama dekatnya tangan aku ini dengan   kepalamu." (Hadis Riwayat  Abu Daud)

Berdasarkan hadis tersebut, terdapat hubungan di antara tertegaknya kekhilafan di bumi Baitulmaqdis dengan gempa bumi yang akan berlaku. Namun, gempa yang diberitakan dalam hadis tersebut sama sekali tidak sama dengan bencana gempa yang berlaku pada hari ini. Walaubagaimanapun, hadis ini adalah penguat kepada fakta yang menyatakan gempa yang kerap berlaku ketika ini merupakan tanda utama kepada berlakunya hari kiamat. 

Sejarah menunjukkan banyak kematian ngeri berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya peperangan dunia dan wabak penyakit yang menyerang manusia. Kematian dengan kadar yang ramai ini berlaku dengan begitu kerap dan diselangi dengan gempa bumi yang berturutan menyebabkan kematian yang ramai.

Pada awal 2020 sahaja menyaksikan banyak gempa bumi yang berlaku. Antaranya ialah gempa bumi yang berlaku pada 20 Januari 2020 berukuran 6.4 magnitud melanda Wilayah autonomi Xinjiang Uyghur China. Gempa itu melanda daerah Jiashi di wilayah Kashgar pada 9.27 malam Ahad (waktu Beijing), diikuti sekurang-kurangnya lapan gegaran susulan, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC). Seterusnya pada 25 Januari 2020 gempa bumi kuat bermagnitud 6.3 pada skala Richter melanda timur Turki. Seterusnya pada 29 Januari 2020 gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Laut Caribbean antara Jamaica dan Timur Cuba.  Kesan gempa turut menggegarkan Mexico sehingga ke Florida. Pada 6 Februari 2020 pula berlaku gempa bumi kuat bermagnitud 6.5 pada skala Richter melanda Jawa, Indonesia, dan pada 20 Februari 2020 berlaku gempa bumi berukuran 6.1 magnitud yang melanda bandar Hualien, Taiwan.

Justeru itu, keadaan bumi yang kerap berlaku gempa ini adalah sebagai isyarat utama kepada manusia agar sentiasa bersedia dengan memperkukuhkan iman serta bertaubat kepada Allah SWT. Apabila berlakunya gempa bumi, manusia akan berada dalam keadaan huru-hara, maka ujian kecil adalah situasi yang nyata berbeza dengan keadaan gempa hari kiamat kelak. Oleh itu, gambaran yang berlaku adalah peringatan besar Allah SWT kepada manusia.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/09/621007/tanda-akhir-zaman-banyak-gempa-bumi 

 

Tanda Kiamat Mukjizat bulan terbelah

PERISTIWA bulan terbelah adalah satu mukjizat baginda Nabi SAW sebagai bukti kerasulan baginda kepada kaum kafir Quraisy. Peristiwa yang berlaku lima tahun sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah ini digambarkan oleh Allah SWT dalam al-Qur'an: "Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan." (Surah al-Qamar ayat 1)

Sebab penurunan ayat ini adalah ketika kaum kafir Makkah meminta kepada Rasulullah SAW memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT serta menguji kebenaran risalah baginda dengan meminta baginda membelah bulan.

"Orang-orang Makkah meminta Nabi SAW untuk mendatangkan sebuah mukjizat. Bulan pun terbelah dua di Makkah. Turunlah firman Allah: 'Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan.' Sampai firman-Nya '(Ini adalah) sihir yang terus-menerus." Al-Qamar: 1-2] (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Maka Allah SWT mengabulkan doa baginda hingga pada malam tersebut jelas bulan terbelah menjadi dua bahagian. Satu bahagian Gunung Abu Qubais dan satu bahagian di as-Suwaida.

Dari Abdullah bin Mas'ud RA, ia berkata: "Aku melihat bulan terbelah menjadi dua bahagian sebanyak dua kali. Peristiwa ini terjadi di Makkah sebelum hijrahnya Nabi SAW. Satu potongan di atas Gunung Abu Qubais dan potongan lainnya di atas as-Suwaida. Mereka berkata: 'Bulan telah disihir'. Turunlah firman-Nya: 'Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan.'" (Hadis Riwayat al-Hakim)

UMAT Islam wajib mempercayai terbelahnya bulan adalah satu mukjizat Nabi Muhammad SAW. 

Ketika musafir tiba, mereka turut menyaksikan hal yang serupa. Tetapi kaum kafir Makkah tetap mengingkari mukjizat tersebut dan berkata: "…(Ini adalah) sihir yang terus menerus."

Maulana Muhammad Ali mengatakan dalam tafsirnya bahawa peristiwa terbelahnya bulan yang terjadi pada zaman Nabi Muhammad SAW itu tergolong dalam hadis yang masyhur dan disahihkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Ibnu Athir sendiri mengatakan: "Peristiwa terbelahnya bulan itu diriwayatkan dalam hadis mutawatir."

Sebahagian ahli tafsir menafsirkan ayat ini menjelaskan peristiwa terbelahnya bulan bukan sahaja merujuk kepada mukjizat pada zaman Nabi Muhammad SAW, tetapi isyarat kepada hari kiamat semakin dekat. Terdapat ahli tafsir mengatakan kata insyaqqal-qamar bermaksud sesuatu yang menjadi terang. Fakta ini merujuk kepada bangsa Arab yang mengibaratkan perkara yang sudah jelas sebagai bulan iaitu seperti waktu pagi yang diibaratkan falaq, yang membawa maksud merekah atau membelah. Imam ar-Rāghib al-Isfahāniy dalam kitabnya Al-Mufradāt li alfāẓ al-Qur"ān menjelaskan kalimat insyaqqal-qamar mempunyai tiga pengertian: (1) Bulan terbelah pada zaman Nabi SAW. (2) Terbelahnya bulan petanda Hari Kiamat semakin dekat. (3) Sesuatu perkara menjadi terang

Daripada Ibn Mas'ud RA berkata: "Terbelah bulan pada zaman Nabi SAW kepada dua bahagian. Maka sabda Nabi SAW 'lihatlah kamu semua.'" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ayat dan hadis tersebut menjelaskan mengenai isyarat kemunculan hari kiamat yang semakin dekat melalui pembelahan bulan pada zaman Nabi SAW. Ibn Kathir menjelaskan, Huzaifah RA telah menyampaikan khutbah di hadapan ramai orang: "Ingatlah, hari kiamat benar-benar sudah dekat. Bukankah bulan telah terbelah? Dan bukankah dunia ini akan hancur lebur? Ingatlah hari ini merupakan saat terakhir dari perbuatan buruk, sedangkan esok adalah saat pecutan dalam hal kebajikan."

Ibn Mas'ud berkata: "Lima pertanda (hari kiamat) yang telah berlalu iaitu runtuhnya kaisar Rom, tragedi penyiksaan, (terbelahnya) bulan dan (munculnya) asap." (Tafsir Ibn Kathir-4/262)

Imam an-Nawawi menjelaskan fakta yang dikemukakan oleh Imam az-Zujaj: "Sebahagian tukang bid'ah mengingkari perkara ini disebabkan hati mereka buta dalam memahami peristiwa ini. Bahkan fakta secara logik juga tidak dapat menolaknya kerana bulan juga makhluk Allah SWT dan kemampuan Allah untuk melakukan apa sahaja untuk makhluknya sama ada menghancurkan atau menghilangkannya."

Penjelasan di atas menunjukkan satu bentuk pemahaman iaitu akal tidak mampu untuk mengingkari peristiwa ini. Pembuktian melalui ilmu pengetahuan semasa turut memperkukuhkan fakta tersebut.

Fakta sains berkaitan pembelahan bulan

Sains khususnya menerusi pandangan ahli kaji bintang menegaskan terdapat pembuktian yang menunjukkan bulan pernah terbelah berdasarkan kewujudan garisan pada permukaan bulan. Walaupun terdapat beberapa fakta yang kuat dikemukakan oleh beberapa ahli aeroangkasa, namun tiada kenyataan rasmi yang dibuat oleh Nasa secara langsung berkaitan peristiwa ini.

Zaghlul Al-Najjar (2008) menjelaskan pembelahan bulan yang berlaku pada zaman Nabi SAW meninggalkan kesan yang dapat dilihat pada hari ini. Kesan tersebut merujuk kepada garisan bulan yang dicantumkan semula selepas proses mukjizat Nabi SAW itu berlaku. Namun, Nasa yang merakamkan gambar bentuk bulan sekitar 1969 terus menafikan garisan rekahan tersebut adalah satu bentuk mukjizat Nabi SAW dan bulan tidak pernah terbelah atau terpecah seperti yang diceritakan. Bailey pada 2010 menjelaskan: "Cadangan saya adalah untuk tidak mempercayai semua yang anda baca di internet. Artikel yang disemak adalah satu-satunya sumber maklumat yang sah secara saintifik di luar sana. Tiada bukti saintifik semasa melaporkan bulan dipisahkan kepada dua (atau lebih) bahagian dan kemudian dipasang semula pada bila-bila masa dahulu."

Merujuk kepada pandangan tersebut, fakta yang dikemukakan Islam bukan melalui sumber artikel yang disebarkan dalam internet seperti yang digambarkan namun keseluruhan kebenaran yang dikemukan melibatkan pembuktian dari kitab suci al-Quran dan hadis Nabi SAW berdasarkan sumber sahih. Justeru, gambaran yang dibuat adalah satu bentuk penafian yang diketahui oleh mereka namun tidak dibuktikan kerana melibatkan hal ehwal Islam yang membolehkan sejumlah besar manusia akan mengikuti agama Islam apabila diketahui kelak.

Oleh itu, sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai terbelahnya bulan adalah satu mukjizat Nabi Muhammad SAW dan ia dijadikan Allah SWT adalah untuk memberi peringatan kepada hamba-Nya mengenai hari kiamat yang bakal tiba kelak.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/09/618259/mukjizat-bulan-terbelah 

Penaklukan Kota Konstantinopel Kekuatan senjata takbir

ANTARA tanda-tanda hampirnya kiamat adalah penaklukan Kota Konstantinopel oleh umat Islam sebelum keluarnya Dajjal. Menurut beberapa hadis Nabi SAW, penaklukan besar ini terjadi setelah peperangan dengan bangsa Rom yang dimenangi oleh kaum Muslimin. Kaum Muslimin kemudian menuju ke Kota Konstantinopel lalu Allah SWT membuka kota tersebut untuk kaum Muslimin tanpa melibatkan peperangan. Senjata utama kaum Muslimin pada ketika itu adalah takbir dan tahlil sahaja. 

Perkara ini berdasarkan sabda Nabi SAW bermaksud: "Apakah kalian pernah mendengar suatu kota yang terletak sebahagiannya di darat dan sebahagiannya di laut? Mereka (sahabat) menjawab: 'Pernah wahai Rasulullah. Baginda SAW bersabda: Tidak terjadi hari kiamat, sehingga ia diserang oleh 70,000 orang daripada Bani Ishaq. Ketika mereka sampai di sana, maka mereka pun memasukinya. Mereka tidaklah berperang dengan senjata dan tidak melepaskan satu panah pun. Mereka hanya berkata Laa Ilaha Illallah Wallahu Akbar, maka jatuhlah salah satu bahagian dari kota itu. Berkata Tsaur (perawi hadis): Saya tidak tahu kecuali hal ini; hanya dikatakan oleh pasukan yang berada di laut. Kemudian mereka berkata yang kedua kalinya Laa Ilaha Illallah Wallahu Akbar, maka jatuh pula sebahagian yang lain (darat). Kemudian mereka berkata lagi Laa Ilaha Illallah Wallahu Akbar, maka terbukalah semua bahagian kota itu. Lalu mereka pun memasukinya. Ketika mereka sedang membahagi-bahagikan harta rampasan perang, tiba-tiba datanglah seseorang (syaitan) seraya berteriak: Sesungguhnya Dajjal telah keluar. Kemudian mereka meninggalkan segala sesuatu dan kembali.'" (Hadis Riwayat Muslim, Kitabul Fitan wa Asyratus Sa'ah, Hadis  no 2920)

TANDA hampirnya kiamat  ialah penaklukan Kota Konstantinopel oleh umat Islam.

Berdasarkan hadis berkenaan, Kota Konstantinopel ini akan ditakluk oleh kaum Muslimin buat kali kedua selepas penaklukan kali pertama yang berlaku pada 1453 masihi. Penaklukan kedua ini pula akan berlaku apabila terjadinya pertambahan umat Islam khsususnya bangsa Rom sebelum turunnya Dajjal. Al-Hafiz Ibnu Kathir menjelaskan, bangsa Rom akan masuk Islam sehingga penaklukan Kota Konstantinopel ini dilakukan sekelompok daripada bangsa Rom sendiri.

Apabila melihat kepada situasi hari ini, Konstantinopel (Istanbul) berada dalam wilayah dan pemerintahan orang Islam. Oleh itu, tidak mungkin penaklukan akan berlaku kepada tempat yang sama. Walau bagaimanapun menurut as-Sayyid Muhammad Rasul al-Barzanji menerusi penjelasan dalam kitabnya al-Isya'ah li Asyrat al-Sa'ah, Konstantinopel yang dimaksudkan dalam hadis tersebut  adalah Konstantinopel yang besar yang bersambung dengan Rome (Itali) dan Andalus (Sepanyol). Kedua-dua pusat penumpuan dunia ini adalah antara tempat yang mempunyai kapasiti penganut agama Kristian yang besar.  Kota Konstantinopel iaitu Istanbul, Turki dibebaskan oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada 1453 buat kali pertama selepas beberapa percubaan dilakukan oleh pemimpin Islam terdahulu. Usaha mereka bertitik tolak daripada sabda Nabi SAW maksudnya: "Sesungguhnya Kostantinopel akan dibebaskan, sebaik–baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik–baik pasukan adalah pasukan tersebut." (H.R Ahmad Hadith no 18957)

Permulaan pembukaan kota Konstantinopel dimulai oleh Saidina Ali bin Abi Talib RA Khalifah ar-Rasyidin ke-4 pada tahun ke-34 Hijrah sehingga ramai yang terkorban. Disebabkan itu, Saidina Ali terpaksa melupakan hasrat tersebut ditambah pula dengan perpecahan yang mula berlaku
dalam kalangan umat Islam.

Pada tahun ke-84 Hijrah, Muawiyah RA pula cuba untuk menaklukinya, namum tidak berjaya. Usaha tersebut diteruskan pula oleh Sultan Sulaiman Abdul Malik pada tahun ke-91 Hijrah namun turut gagal menembusi kota tersebut.

Khalifah Harun ar-Rasyid mencuba pada tahun ke-165 Hijrah sehingga kepada percubaan terakhir oleh Sultan Murad pada tahun ke-825 Hijrah. Semua menemui jalan kegagalan.

Selepas lebih 800 tahun hadis Baginda Nabi SAW meniti di bibir pemimpin Islam, akhirnya kota Konstantinopel yang kebal dapat ditakluk oleh pemimpin muda yang berjiwa besar. Menjadi pemimpin sebaik-baik pemimpin dan mengemudi tentera yang menjadi sebaik-baik pasukan dalam penaklukan tersebut.

Kemerdekaan diimpikan

Kejayaan penaklukan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh memerlukan usaha berlipat kali ganda manakala penaklukan kedua yang akan berlaku pada akhir zaman adalah dengan cara yang berbeza. Gambaran ini menunjukkan bahawa untuk mengecapi keamanan dalam sesebuah negara bukan sesuatu yang mudah. 

Semua rakyat memainkan peranan yang berbeza bermula dengan pemimpin diikuti oleh pembesar, tentera dan rakyat jelata. Kesepakatan yang digambarkan dalam rentetan penaklukan Konstantinopel pada zaman Sultan Muhammad al-Fateh menjadi inspirasi kepada semua golongan muda. Kekuatan fizikal sahaja tidak dapat membantu kejayaan sesebuah negara tanpa meletakkan agama di hadapan. 

Begitu juga dengan gambaran penaklukan kedua yang akan berlaku kelak. Digambarkan senjata utama umat Islam pada ketika itu hanyalah takbir dan tahlil sahaja. Namun, disebalik lantunan lafaz tersebut, kekuatan dalaman dan nilai iman yang kukuh menjadi 'perisai' utama mereka.

Negara kita sudah 63 tahun mengecapi kemerdekaan. Pembebasan negara daripada penjajahan yang cukup lama memberikan isyarat mengenai erti kemanisan dan keamanan yang diinginkan oleh semua masyarakat dunia. Generasi kini mungkin tidak pernah merasai perit jerih nenek moyang terdahulu mempertahankan negara, namun semangat kemerdekaan perlu ditanam sedalam-dalamnya supaya rasa cinta kepada tanah tumpah darah ini tidak akan pudar.

Keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang kaum perlu dititipkan oleh semua pihak. Islam adalah agama keamanan dan dipandang mulia melalui adab dan tatasusila yang tinggi. Maka perlu bagi semua rakyat khususnya umat Islam memahami perinsip penciptaan manusia.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat ayat 13)

 Justeru itu, kemerdekaan yang dikecapi ini janganlah dicemari dengan perkara yang boleh menyebabkan jatuhnya negara kepada situasi peperangan dan kekacauan. Jadikan bendera Malaysia sebagai kebanggaan semua masyarakat dan kibarkan dengan penuh megah dan rasa bertanggungjwab. Nikmat yang dikecapi sekian lama ini sentiasalah disyukuri dengan melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Haj ayat 41)

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/09/617436/kekuatan-senjata-takbir