Cinta harta luntur iman

 FITNAH harta adalah satu fitnah yang akan melanda manusia akhir zaman sehingga membawa kepada kelalaian yang besar kepada Allah SWT. Manusia akan terus menerus mencari harta bagi memenuhi keperluan semasa sehingga membawa kepada kesan yang besar kepada keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman Maksudnya:  "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." (al-Anfal, ayat 28)

Dikatakan harta dan anak sebagai fitnah adalah merujuk kepada kedua-duanya penyebab kepada kelalaian manusia daripada menunaikan kewajipan agama dan juga penyebab kepada hilangnya usaha untuk meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Pada asalnya, harta tidaklah tercela, bahkan Allah SWT menyebut harta sebagai khair (kebaikan) dalam al-Quran.

Maksudnya: "Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa." (Al-Baqarah ayat 180)

Allah juga menyebutkan bahawa harta Allah jadikan sebagai qiyam atau sesuatu yang menopang kehidupan manusia. Allah berfirman maksudnya: "Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya (anak yatim yang belum baligh), harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan (qiyaman)." (An-Nisa, ayat 5)

Harta adalah tunjang kehidupan manusia yang dijadikan Allah SWT  untuk keperluan agama dan dunia yang akan membawa kepada situasi akhirat yang baik. Oleh itu, wali atau pemegang harta tidak boleh menyerahkan harta yang diamanahkan sebelum sempurna akal mereka. Ini merujuk kepada kewarasan dalam berfikir seseorang manusia sehingga mampu membezakan apa yang halal dan haram dalam kehidupan. Jika tidak harta tersebut akan merosak dan menghancurkan mereka.

Ibadah manusia akan terjejas disebabkan harta. Kesempurnaan ibadah juga berkait rapat dengan harta. Orang soleh menguruskan harta yang baik akan dipermudahkan banyak urusan daripadanya. Kehormatan mereka diangkat sama ada daripada padangan Allah SWT atau manusia. Hubungan dengan Allah akan bertambah baik, rezeki akan sentiasa bertambah tanpa disedari seterusnya memberi ketenangan dalam beribadah. Hubungan dengan manusia pula, ramai kenalan dan mudah disegani oleh masyarakat. Sikap pemurah dengan memberi hadiah, makanan dan lain-lain akan menghasilkan kekuatan dalam beribadah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Sebaik-baik harta adalah harta yang dimiliki oleh orang soleh." (Hadis Riwayat Bukhari)

Allah memberi peringatan kepada hamba-Nya bahawa harta adalah fitnah yang akan menyebabkan manusia lalai daripada mengingati-Nya. Disebabkan harta juga, manusia mudah melakukan maksiat dan kemungkaran kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, Allah SWT membataskan rezeki-Nya yang luas kepada sebahagian manusia.

Nabi SAW  bersabda, daripada Ka'ab bin Iyadh maksudnya: "Sesungguhnya tiap-tiap umat itu mempunyai fitnah dan fitnah umatku adalah harta." (Hadis Riwayat Al-Tirmizi hadis no: 2439)

Allah berfirman maksudnya:  "Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat." (Asy-Syura ayat 27)

Manusia yang diuji dengan harta yang melimpah-ruah akan bermewah-mewahan. Allah menjelaskan tentang situasi orang yang suka hidup bermewah akan menjadi penentang kepada utusan Allah SWT  sebagaimana kisah Qarun. Allah SWT berfirman:  "Dan Kami tidak mengutus kepada suatu negeri seorang pemberi peringatan pun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya." (Saba', ayat 34)

Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah dua serigala lapar yang menghampiri seekor kambing lebih berbahaya baginya daripada keghairahan seseorang kepada harta dan kedudukan bagi agamanya." (Hadis Riwayat Tirmidzi no. 2376, hasan shahih, Ahmad: 3/656)

Nabi SAW menggambarkan situasi kerosakan kepada agama disebabkan oleh manusia yang terlalu ghairah kepada harta dan kedudukan dunia. Kerosakan agama yang ditimbulkannya adalah lebih besar daripada bahaya yang mengancam seekor kambing yang didatangi dua serigala lapar dan siap menerkamnya.

Ibnu Rajab menjelaskan, orang yang ghairah dan berkeinginan terhadap harta terbahagi kepada dua: Pertama, orang yang sangat mencintai harta, semangat dalam mencarinya dengan cara yang dibenarkan, namun ia berlebihan dalam mendapatkan dan mengusahakannya. Namun disebabkan keghairahan mendapatkan harta, usahanya akan menyebabkan kehidupannya menjadi sia-sia padahal ia seharusnya bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kenikmatan akhirat yang abadi.

Rasulullah SAW bersabda kepada sahabatnya Hakim bin Hizam maksudnya:  "Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini indah dan manis. Barangsiapa mengambilnya dengan keluasan jiwanya, ia akan mendapat barakah pada hartanya. Dan barangsiapa yang mengambilnya tanpa berlebihan, maka perumpamaannya adalah seperti orang yang makan dan tidak pernah kenyang. Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan di bawah." (Hadis Riwayat Bukhari)

Kedua, orang yang berkeinginan terhadap harta, hingga mengusahakannya dengan cara yang diharamkan Allah dan menghalanginya untuk menunaikan kewajiban hartanya. Perutnya penuh dengan harta haram. Harta yang dimilikinya adalah hasil daripada seluruh usahanya, ia menjadi manusia yang sangat takut kehilangan hartanya. Ia sangat kikir, malas bersedekah dan individualistik. Ia terjerumus pada sikap kikir yang tercela. Padahal Allah SWT  berfirman maksudnya: "Dan sesiapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung." (Al-Hasyr ayat 9)

ALLAH memberi peringatan kepada hamba-Nya bahawa harta adalah fitnah yang akan menyebabkan manusia lalai daripada mengingati-Nya.

Daripada Jabir bin Abdillah, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:  "Peliharalah dirimu daripada sifat kikir kerana sifat kikir telah membinasakan orang-orang sebelum kamu. Sifat itu telah menyuruh mereka memutuskan persaudaraan, maka mereka pun memutuskan persaudaraan. Sifat itu telah menyebabkan mereka saling membunuh dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan." (Hadis Riwayat Muslim no: 6741) 

Justeru itu, berhati-hatilah dengan fitnah harta yang akan menguji manusia. Manusia akan mula menjadi seorang yang sentiasa tidak puas dengan harta yang ada sehingga menjadi kedekut dan tidak suka bersedekah. Kemudian perhubungan antara sesama manusia akan renggang dan putus. Sifat bakhil yang terpahat akan melahirkan kemarahan dan kebencian sesama sendiri. Maka manusia akan semakin jauh daripada landasan agama yang sebenar disebabkan harta.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/10/635101/cinta-harta-luntur-iman