KEBERSIHAN merupakan perkara yang menjadi tanggungjawab semua masyarakat dan tidak tertumpu kepada pihak berkuasa sahaja. Dalam bahasa Arab, kebersihan merujuk kepada perkataan al-Nazafah iaitu penyucian dan perkataan al-Taharah iaitu bersih, bebas dan suci dari najis. (Lisan al-'Arab) Kebersihan ini bermula daripada fizikal seseorang individu sehingga kepada kebersihan alam sekitar keseluruhannya.
Sesetengah masyarakat sangat mementingkan kebersihan, walau bagaimanapun masih ada yang tidak mengendahkan kepentingan menjaga kebersihan.
Dari sudut kesihatan, penjagaan kebersihan adalah salah satu perkara amat ditekankan. Ini termasuk penjagaan diri dan kawasan persekitaran diduduki. Bagi kanak-kanak dan warga tua, mereka lebih terdedah kepada penyakit khususnya wabak dan virus.
Oleh itu, penjagaan kebersihan perlu diberi pendedahan, penekanan dan diamalkan oleh semua lapisan masyarakat.
Senario yang berlaku disebabkan virus Covid-19 ini menunjukkan perubahan yang ketara kepada masyarakat di Malaysia.
Setiap individu mula mengamalkan sikap menjaga kebersihan dengan kerap membasuh tangan, menjaga diri dari bergerak dan berada di tempat kotor sehingga menyucikan barang belian sebelum disimpan atau dimasak.
Normal baharu ini pasti memberi impak besar kepada kesihatan masyarakat dengan setiap individu memastikan kawasan sekeliling mereka bersih dan bebas dari kotoran.
Tidak dinafikan, ada kelompok individu yang secara azali seorang yang pembersih dan menjaga kebersihan persekitaran. Hal ini tidak boleh dikaitkan dengan taraf kehidupan seseorang, bahkan lebih kepada kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan.
Ada mereka yang hidup secara sederhana, tetapi mementingkan kebersihan dan sebaliknya bagi mereka yang hidup dalam kesenangan.
Dalam Islam, bersuci itu adalah sebahagian daripada iman. Ini diterangkan dalam sebuah hadis Nabi SAW: "Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan." (Hadis Riwayat Muslim).
Oleh itu, sekiranya umat Islam mengambil hikmah dari Covid-19 ini, pasti tiada masalah untuk meletakkan kebersihan sebagai perkara utama yang perlu dilaksanakan dalam seharian.
https://www.hmetro.com.my/addin/2020/05/582545/jaga-kebersihan-sebahagian-daripada-iman