Apabila ibu menjadi amah

 ANTARA salah satu tanda daripada tanda-tanda hampirnya kiamat adalah situasi ibu yang pada suatu ketika mengandung, melahirkan, menyusu dan menjaga anak sejak dari kecil akhirnya bertukar menjadi orang bawahan atau pembantu kepada anaknya sendiri. Hal ini dijelaskan dalam hadith daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Di antara tanda-tanda kiamat adalah apabila kamu melihat pengembala kambing menjadi pemimpin manusia dan kamu melihat orang yang bertelanjang dan berkaki ayam (miskin) akan berlumba-lumba meninggikan bangunan dan apabila ibu melahirkan tuannya." (HR Shuib al-Arnaout)

Pendapat Al-Hafiz Ibnu Hajar mengenai 'ibu melahirkan tuannya' mengisyaratkan bahawa akan banyaknya penderhakaan manusia kepada ibu mereka sendiri. Gambaran ini sudah jelas kelihatan apabila anak-anak dalam keadaan sedar atau tidak menjadikan mereka seperti pembantu rumah dengan membuat kerja-kerja memasak, membasuh, mengasuh cucu dan lain-lain. Walaupun pada satu ketika ibu melakukan perkara itu secara sukarela, demi membantu anak-anaknya yang bekerja namum perkara tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadikan ibu kandung sendiri sebagai orang gaji mereka.

Dalam al-Quran terdapat dua perkataan yang membawa maksud ibu iaitu umm dan walidah. Perkataan umm menjelaskan peranan ibu yang mengandung dan melahirkan tanpa melihat sifat seseorang ibu itu sama ada baik atau buruk. Hal ini merujuk kepada segelintir wanita yang mengandung dalam keadaan terpaksa dan akhirnya menggugurkan atau membuang bayi tersebut apabila dilahirkan. Kata walidah digunakan hanya karana adanya proses melahirkan, baik bagi manusia maupun makhluk lain.

Ibu yang digelar dengan nama walidah inilah menggambarkan tempat menumpahkan segala pengorbanan tanpa membezakan apakah ia baik atau tidak. Allah berfirman maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uuh' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah Al Isra ayat 23)

MULIANYA ibu apabila al-Quran memberitakan kepada kita mengenai dalamnya cinta ibu kepada anak-anaknya dan besarnya kasih sayang dan kelembutannya kepada mereka.

Dalam ayat lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka." (Surah Maryam ayat 32)

Imam Asy Syarbini menjelaskan ibu disebutkan secara khusus dalam al-Quran kerana menanggung beban berat dan banyak daripada rasa sakit dan kesulitan ketika melahirkan, menyusui dan mengasuh. Dalam tempoh ini, ibu bersengkang mata, berkorban apa sahaja bagi memastikan anaknya membesar dalam keadaan sihat dan dijaga rapi. 

Mulianya ibu apabila al-Quran memberitakan kepada kita mengenai dalamnya cinta ibu kepada anak-anaknya dan besarnya kasih sayang dan kelembutannya kepada mereka. Islam adalah agama yang sangat menitik beratkan soal berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua ibu bapa) adalah antara ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah SWT. Ini seperti yang ditunjukkan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa." (Surah Al-Nisa' ayat 36)

Justeru, ibu tidak sepatutnya dilayan seperti orang gaji walaupun tiada sedikit rungutan yang keluar daripada mulutnya. Ibu perlu dimuliakan oleh anak walaubagaimana tingginya kedudukan taraf dan pangkat anak dalam pekerjaan. Oleh itu, sisa umur ibu tidak perlu dihabiskan dengan menjaga cucu dan menjadi petugas utama dalam rumah anak mereka. Semoga anak-anak dapat menjaga dan berbakti kepada ibu bapa ketika hayatnya masih ada.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/07/602579/apabila-ibu-menjadi-amah