Antara tanda yang banyak dibahaskan ulama dan pengkaji hari kiamat adalah bencana gempa bumi yang semakin kerap berlaku di serata dunia. Perbahasan gempa bumi ini melibatkan beberapa pandangan utama antaranya mengatakan gempa bumi yang berlaku adalah bentuk fenomena alam biasa dan bukan merujuk kepada gempa yang terjadi pada hari kiamat. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Ash'ari RA: "Umatku merupakan bangsa yang sentiasa dirahmati; ia tidak akan dihukum semasa di akhirat kerana Allah telah menurunkan hukuman semasa di dunia ini dalam bentuk pembunuhan, gempa bumi dan huru-hara." (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
Dalam al-Quran Allah SWT mengisyaratkan akan berlakunya gempa bumi besar pada akhir zaman menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar." (Surah al-Hajj 22: 1)
Beberapa firman Allah SWT menyatakan bermaksud:
1. "Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya." (Surah al-Zalzalah, 99:1)
2. "Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing." (Surah al-A'raf, 7:78)
3. "(Azab itu tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur) dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah." (Surah al-Muzammil, 73:14)
4. "(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan." (Surah al-Waqiah 56:4)
Berdasarkan Firman Allah SWT, gempa bumi yang digambarkan dalam al-Quran adalah situasi gempa bumi besar akhir zaman yang lebih dahsyat dengan apa yang berlaku pada hari ini. Gempa bumi tersebut adalah satu bentuk goncangan yang akan memusnahkan keseluruhan dunia serta menghancurkan setiap apa yang ada di muka bumi Allah SWT. Oleh itu, gempa bumi yang berlaku pada hari ini tidak boleh disamakan dengan gempa akhir zaman yang diberitakan menerusi al-Quran.
Merujuk kepada situasi terkini, hampir setiap bulan terdapat gempa bumi yang berlaku di seluruh dunia. Gempa yang berlaku dalam kadar magnitud yang berbeza-beza ini adalah antara salah satu daripada banyak gempa bumi yang diberitakan sebagai tanda akhir zaman. Namun setiap gempa bumi yang berlaku tidak boleh disandarkan terus kepada hadis Nabi SAW yang menjelaskan tentang gempa bumi akhir zaman sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran.
Perkara ini bertitik tolak kepada situasi gempa bumi seluruh dunia yang sudah lama berlaku yang memberi kesan kepada perubahan muka bumi pada hari ini. Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan datang kiamat sehingga banyak terjadi gempa bumi." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Keadaan gempa bumi yang berlaku di pergunungan, daratan dan lautan memberi kesan yang besar kepada permukaan bumi sehingga menyebabkan ramai yang terkorban akibat bencana tersebut. Situasi ini turut melibatkan ancaman ombak besar tsunami seperti yang berlaku di Indonesia, Jepun dan negara persisiran pantai yang berlaku sebelum ini.
Dalam hadis lain, diriwayatkan daripada Salamah bin Nufail As-Sukuni, dia berkata: "Kami sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah SAW, lalu baginda menyebutkan suatu hadith yang bermaksud: 'Sebelum terjadinya hari kiamat akan terdapat kematian-kematian yang mengerikan dan sesudahnya akan terjadi tahun-tahun gempa bumi.'" (Hadis Riwayat Ahmad)
Ibnu Hajar menjelaskan banyak terjadi gempa bumi di negara bahagian utara, timur dan barat. Namun berdasarkan hadis di atas, gempa bumi tersebut akan berlaku secara terus menerus di seluruh dunia. Perkara ini diperkuatkan dengan Riwayat daripada Abdullah bin Hawalah RA yang berkata bahawa Rasulullah SAW pernah meletakkan tangan Baginda di atas kepalanya dan bersabda: "Wahai Ibn Hawalah, jika engkau menyaksikan kekhilafan ditegakkan di bumi Baitulmaqdis, maka sesungguhnya saat itu akan banyak terjadi gempa bumi, kesusahan, bencana dan peristiwa besar. Pada saat itu hari kiamat amat dekat dengan manusia, seumpama dekatnya tangan aku ini dengan kepalamu." (Hadis Riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis tersebut, terdapat hubungan di antara tertegaknya kekhilafan di bumi Baitulmaqdis dengan gempa bumi yang akan berlaku. Namun, gempa yang diberitakan dalam hadis tersebut sama sekali tidak sama dengan bencana gempa yang berlaku pada hari ini. Walaubagaimanapun, hadis ini adalah penguat kepada fakta yang menyatakan gempa yang kerap berlaku ketika ini merupakan tanda utama kepada berlakunya hari kiamat.
Sejarah menunjukkan banyak kematian ngeri berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya peperangan dunia dan wabak penyakit yang menyerang manusia. Kematian dengan kadar yang ramai ini berlaku dengan begitu kerap dan diselangi dengan gempa bumi yang berturutan menyebabkan kematian yang ramai.
Pada awal 2020 sahaja menyaksikan banyak gempa bumi yang berlaku. Antaranya ialah gempa bumi yang berlaku pada 20 Januari 2020 berukuran 6.4 magnitud melanda Wilayah autonomi Xinjiang Uyghur China. Gempa itu melanda daerah Jiashi di wilayah Kashgar pada 9.27 malam Ahad (waktu Beijing), diikuti sekurang-kurangnya lapan gegaran susulan, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC). Seterusnya pada 25 Januari 2020 gempa bumi kuat bermagnitud 6.3 pada skala Richter melanda timur Turki. Seterusnya pada 29 Januari 2020 gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Laut Caribbean antara Jamaica dan Timur Cuba. Kesan gempa turut menggegarkan Mexico sehingga ke Florida. Pada 6 Februari 2020 pula berlaku gempa bumi kuat bermagnitud 6.5 pada skala Richter melanda Jawa, Indonesia, dan pada 20 Februari 2020 berlaku gempa bumi berukuran 6.1 magnitud yang melanda bandar Hualien, Taiwan.
Justeru itu, keadaan bumi yang kerap berlaku gempa ini adalah sebagai isyarat utama kepada manusia agar sentiasa bersedia dengan memperkukuhkan iman serta bertaubat kepada Allah SWT. Apabila berlakunya gempa bumi, manusia akan berada dalam keadaan huru-hara, maka ujian kecil adalah situasi yang nyata berbeza dengan keadaan gempa hari kiamat kelak. Oleh itu, gambaran yang berlaku adalah peringatan besar Allah SWT kepada manusia.
https://www.hmetro.com.my/addin/2020/09/621007/tanda-akhir-zaman-banyak-gempa-bumi