Persediaan Ramadan luar daripada kebiasaan

RAMADAN yang tiba kali ini bakal meninggalkan seribu satu kenangan buat umat Islam seluruh dunia dan Malaysia khasnya. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk kepada fasa ke-3 ini, umat Islam di Malaysia khususnya menyambut Ramadan dalam keadaan luar biasa. Secara tradisi, seminggu sebelum tibanya Ramadan, pelbagai persiapan dilakukan sama ada melibatkan individu ataupun pihak surau dan masjid bagi memberi keselesaan kepada jemaah yang bakal menunaikan solat sunat tarawih nanti. Pihak jawatankuasa sibuk membuat perancangan bagi memastikan aktiviti yang dirancang berjalan lancar. Para imam pula tidak kurang hebatnya dengan persediaan bacaan al-Quran bagi memperoleh kesempurnaan solat. Tidak lupa para penceramah yang membuat persediaan rapi bagi menyampaikan tazkirah sepanjang Ramadan.

    Namun, segala perancangan perlu diubah keseluruhannya apabila tempoh PKP dilanjutkan. Dalam hal ini, persediaan Ramadan tertumpu kepada setiap ketua keluarga yang bakal menjadi imam tetap solat berjemaah dan tarawih bersama keluarga nanti. Ini merupakan ibrah besar di sebalik penularan virus Covid-19 kepada golongan lelaki bagi memimpin keluarga khususnya dalam bab ibadah sempena Ramadan nanti.

Tidak kurang pula golongan peniaga bazar Ramadan yang rata-rata termenung panjang memikirkan perancangan Ramadan tahun ini. Kebanyakkan mereka meletakkan sasaran keuntungan tahunan yang besar setiap kali Ramadan tiba, namun segala perancangan berkenaan perlu diubah dan perlu memikirkan mekanisma yang baharu bagi mengatasinya. 

    Ketiadaan bazar memberi impak besar kepada golongan ibu yang perlu memikirkan menu berbeza sepanjang Ramadan. Bagi mereka yang menjadikan bazar sebagai pilihan utama, tahun ini menjadi peluang bagi golongan ibu membuktikan kemahiran memasak mereka masih utuh dan dapat diterima seisi keluarga. Golongan bapa pula perlu menggalas tangungjawab membantu kaum ibu di dapur bagi memastikan juadah dirancang siap dalam tempoh ditetapkan.

    Dalam masa lebih kurang seminggu sebelum Ramadan, setiap keluarga perlu memastikan perancangan terbaik bagi memastikan setiap hari puasa terisi dengan aktiviti yang dapat mempertingkatkan hubungan antara sesisi keluarga dan serta mengharungi Ramadan dengan ibadah yang sempurna. Justeru, jadikanlah Ramadan kali ini di luar daripada kebiasaan sebagai ibrah bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/04/566680/persediaan-ramadan-luar-daripada-kebiasaan 

BAZAR Ramadan tahun ini dibatalkan berikutan pelaksanaan PKP di seluruh negara susulan penularan Covid-19.