Debaran sekolah dibuka, ini yang perlu guru ambil tahu sebelum sekolah dibuka 24 Jun ini

Sebagaimana yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) setelah mengambil pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), sekolah akan kembali dibuka pada 24 jun 2020 ini.

Walaupun pembukaan sekolah ini hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu SPM, STPM, STAM dan setaraf dengannya, namun kerisauan mula terdetik dalam kalangan pendidik yang telah bertungkus lumus menyediakan standard Operational Procedure (SOP) sejak beberapa minggu lalu.

Beberapa siri simulasi telah dijalankan bagi memastikan setiap SOP dipatuhi oleh setiap pelajar. Walau bagaimanapun, realiti sebenar penerimaan pelajar-pelajar dalam keadaan normal baharu ini akan dapat dilihat pada hari pertama sekolah dibuka nanti.

Ikuti kupasan lanjut oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Debaran sekolah dibuka, ini yang perlu guru ambil tahu sebelum sekolah dibuka 24 Jun ini

Pada sidang akbar Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, beliau menegaskan tentang pematuhan SOP dan gerak kerja yang mesti diusahakan oleh pihak sekolah bagi memastikan pelajar memahami setiap peraturan baru yang ditetapkan. Dalam masa yang sama beliau turut memberi amaran kepada pihak sekolah, bahawa bahagian kementerian akan membuat lawatan ke sekolah secara mengejut bagi memastikan setiap SOP dilaksanakan sebelum sekolah dibuka.

Hasilnya, pada 17 Jun 2020 menerusi perkongsian dalam facebook rasmi beliau, pihaknya bersama dengan pengawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) telah membuat lawatan mengejut di beberapa buah sekolah bagi melihat sendiri persediaan akhir pihak sekolah menuju pembukaan pada 24 jun nanti.

Destinasi pertama adalah SMK Dato’ Kelana Putra di Lenggeng, kemudian SMK Mantin dan terakhir adalah di SMK Dato’ Syeikh Ahmad Seremban. Hasil penelitian yang dibuat, masih terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan perjalanan pembukaan sekolah nanti berjalan lancar.

Gerak kerja akhir

Hasil daripada lawatan tersebut, pihak sekolah mula merangka gerak kerja yang lebih terperinci dengan penelitian tertumpu kepada pergerakan keluar masuk pelajar dan lebel yang memudahkan pelajar memahami sama ada kawasan tersebut merupakan larangan atau tidak. Sudah pasti pada peringkat awal pembukaan sekolah nanti akan ada pelajar yang terkeliru dengan lebel, tersalah masuk kawasan larangan dan sebagainya. Oleh itu, beberapa panduan umum telah dimaklumkan kepada ibu bapa supaya anak-anak mereka bersedia menghadapi situasi yang berbeza di sekolah nanti.

Para guru juga gigih memastikan setiap papan tanda dan lebel yang telah ditampal kekal pada tempatnya. Bermacam bentuk pelekat dan cat digunakan bagi memastikan setiap label jelas kelihatan. Bagi susunan meja dan kerusi pula, melalui penjarakan 1 meter hanya 15 hingga 20 orang pelajar sahaja yang dibenarkan belajar dalam sesebuah kelas bergantung kepada saiz dan keluasan. Para guru juga membuat tanda yang khusus di sekeliling meja bagi memastikan tiada perubahan jarak yang berlaku.

Di kantin sekolah pula, terdapat beberapa kaunter makanan dibuka bagi memastikan pergerakkan pelajar dalam keadaan lancar. Pelajar juga perlu mengambil makanan dan makan di kelas masing-masing. Makanan yang disediakan adalah dalam bentuk bungkusan dan pelajar disarankan untuk membawa sudu dari rumah masing-masing. Pada ketika ini peranan guru amat penting bagi memastikan pelajar mematuhi setiap peraturan yang dibuat.

Para pekerja pembersihan sekolah sangat memainkan peranan utama pada ketika pembukaan sekolah nanti. Mereka perlu memastikan setiap tempat dan kawasan sekolah sentiasa di sanitize secara berkala terutamanya di ruangan kantin dan bilik air. Ini bagi memastikan kawasan sekolah bebas dari virus yang boleh menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Penjadualan

Jadual pembelajaran telah diubah dan diselaraskan mengikut kapasiti guru dan pelajar. Tempoh pembelajaran dilihat lebih fleksibel dengan penumpuan setiap mata pelajaran dibuat secara bergilir. Perkara ini dilaksanakan bagi memastikan guru mata pelajaran dapat mengagihkan bahan pengajaran kepada pelajar dengan kadar yang sempurna. Waktu rehat pelajar pula dilaksanakan secara bergilir-gilir dengan memastikan pergerakkan pelajar tidak serentak. Dengan penjadualan yang terperinci ini, pelajar dan guru secara asasnya dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara sempurna tanpa menjejaskan SOP yang telah ditetapkan.

Pihak kaunseling sekolah juga perlu memainkan peranan utama bagi memastikan tahap emosi pelajar dalam keadaan yang baik. Dalam hal ini, setiap guru perlu melihat perubahan terhadap tingkah laku pelajar bagi membendung permasalahan emosi yang akan berlaku kelak seterusnya merencatkan proses PdP pelajar. Tujuan utama mereka untuk menduduki peperiksaan pada awal tahun depan, sudah pasti risiko terhadap emosi pelajar akan sedikit terganggu dengan situasi persekolahan yang berbeza ini. Oleh itu, penjadualan guru-guru yang bertugas sebagai kaunselor juga perlu dibuat secara berkala.

Apabila melihat kepada persediaan akhir pembukaan sekolah ini, ternyata para guru dan pentadbir sekolah bakal mengambil alih tugasan frontline yang baru. Setiap gerak kerja yang dilakukan ditambah pula dengan aktiviti pengajaran yang akan dilaksanakan pasti akan memberi bebanan yang luar biasa kepada mereka. Semoga setiap perjalanan persekolahan nanti akan berjalan dengan lancar dan sempurna.

Rujukan: Maklumat umum tentang persediaaan pembukaan sekolah ini diperoleh daripada Cikgu Muhammad Rafini Yusof dan Cikgu Mohd Sayuki Mohd Zain, Guru SMK Dato’ Kelana Putra, Lenggeng Negeri Sembilan.

https://www.gpsbestari.com/artikel/rencana/debaran-sekolah-dibuka-ini-yang-perlu-guru-ambil-tahu-sebelum-sekolah-dibuka-24-jun-ini-1.934749