Malu betul bila ramai orang
nampak aku pakai baju tidak bergosok…
Malu betul aku orang kata aku
skima…
Apa sebenarnya malu ni…
Malu ialah perasaan jiwa yang
tidak sanggup membuat sesuatu yang mendatangkan kecelakaan serta mengelak diri
daripada terlibat di dalam perkara-perkara yang dianggap tidak baik oleh
masyarakat luar sana. Secara mendalamnya, perasaan malu inilah yang dapat
menjaga tali persaudaraan serta masyarakat di luar sana serta dapat menjaga
diri dari melakukan perkara-perkara keburukan.
Daripada
Umran bin Husain r.a. Rasulullah telah bersabda: “Malu tidak mendatangkan
sesuatu kecuali yang baik”
Akan tetapi, perasaan ini
sudah mula dilunturkan sedikit demi sedikit. Masyarakat sudah tidak malu jika
tidak berpuasa, tidak solat, melakukan perbuatan maksiat terang-terangan,
berdua-duaan dan sebagainya. Ini lah natijah pabila perasaan malu telah lenyap
dari diri mereka dan perasaan biadab dan kurang ajar berleluasa terus mengambil
tempat kosong tersebut.
Bermulanya kes-kes yang
memalukan pabila di dengar dan tidak memalukan bagi mereka yang melakukan.
Masyarakat yang dikatakan Islam ditangkap makan siang hari di bulan ramadhan.
Tidak kurang pula yang bercumbu-cumbuan tatkala tudung masih di kepala, ikatan
belum dilunaskan. Sudah tiada perasaan malu bagi mereka.
Daripada
Abi Mas’ud, Rasulullah telah bersabda: “ Apa yang didapati oleh manusia
daripada kata-kata Nabi yang terdahulu ialah apabila engkau tidak malu, buatlah
apa yang engkau mahu”
Perintah ini bukan bermaksud
memberi keizinan melakukan sesuatu yang diingini sekehendak hati, tetapi adalah
suatu suruhan yang terselit di dalamnya suatu amaran yang keras dan ancaman
balasan yang buruk. Jika kita dapat mengimbau kembali kenangan ketika kecil-kecil
dahulu, ayah selalu melarang dari membuat sesuatu dengan berkata “ kalau degil,
buat la sesuka hati engkau”
Sifat malu ialah satu cabang
bagi kesempurnaan iman, malu juga merupakan asas didikan bagi kemuliaan akhlak
sejak zaman Nabi-nabi terdahulu hinggalah kepada Muhammad. Mereka yang tidak
bermalu tidak akan ragu-ragu melakukan kerosakan dan kedurjanaan. Mereka
diancam dengan balasan yang sejajar dengan kelakuan mereka. Hakikatnya, sifat
malu akan mendatangkan kebajikan, kekuatan, kemajuan seterusnya mendapat
kemuliaan dalam hidup.